Tuesday, September 29, 2009

Kembali Membanting Tengkorak! (sekadar ceritera)

بسم الله الرحمن الرحيم




Bingit nyanyian 'leng geleng geleng geleng geleng geleng' dari Project Pop dituruti deraian kekek dan gelak bebudak rumah menandakan suasana goyang kaki dan suka duka aidilfitri telah pun berakhir. Tiba waktu untuk kembali membanting tengkorak, memerah keringat otak bagi menyudahkan segala kerja yang menggunung, dilonggok sewaktu cuti lalu bermula.

Aku sendiri tak berapa nak merasakan meriahnya Aidilfitri tahun ni. Bukan apa, aku rasa korang semua pun mesti lebih kurang macam aku jugak. Mungkin semua ni kerana kesibukkan termelampau yang aku sendiri cari dan mungkin jugak sebab dah terlalu asyik menghadap skrin bercahaya yang semakin membutakan mata ni.

Tahun ni pertama kali tak sempat solat sunat jemaah Aidilfitri dek terpaksa menghantar adik kesayangan untuk beli tiket balik on the spot pada pagi syawal yg syahdu. Memang syahdu sebab nak tak nak, dia kena balik melaporkan diri untuk bertugas kat Lumut, Perak. Dah nama pun NAVY, pandai-pandai la uruskan diri. Dia sendiri pun memang ulang-ulang bagitau yang tak nak balik tapi terpaksa. Sempat jugak menyental laksa Terengganu dan pulut panggang inti ikan nenek yang dah menjadi kegemaran wajib kami kalau balik ke Felda Endau, Mersing Johor.

Lagi satu, dia memang taknak pandu kereta waktu raya sebab dah trauma dan fobia. Raya 2 tahun lepas dia terlanggar perempuan bawak motosikal (tak tahulah siapa langgar siapa) masa dalam perjalanan balik ke kampung. Masa tu hari terakhir puasa, sadis jugak sebab akak tu terpaksa beraya kat hospital lah kot. Aku jugak yang tolong panggilkan ambulans sebab adik aku dah terkaku dalam kereta. Kejong sebab terkejut agaknya.

Alamak, dah sampai waktu nak sambung buat kerja. Nanti insyaAllah ada masa aku akan kemaskini lagi Hijrah Huzaifah dengan lebih banyak pengisian yang berilmu.

Current project : K-Chart Generator
Incoming project : Car Rental Management System

Monday, September 21, 2009

Jumpa Lagi Ramadhan, Apa Khabar Aidilfitri

بسم الله الرحمن الرحيم




Kesempatan yang terhad, hanya ini yang termampu. Menulis di pagi 2 Syawal sekadar yang termampu. Kesibukkan dalam banyak dimensi kehidupan membataskan Hijrah Huzaifah untuk dikemaskini selalu. Hari ini 2 Syawal, 1430 Hijrah aku berada di Felda Endau, Mersing Johor, kampung halaman ayahanda aku yang sudah semestinya menjadi destinasi bagi menyambut 1 Syawal setiap tahun. Kampung mak dah ramai orang, kampung baba yang tak ramai orang. Maka, disinilah kami sekeluarga.

Kepada semua rakan taulan serta pembaca yang dikasihi sekelian, Salam Aidilfitri aku ucapkan dan aku pohon kemaafan fizikal dan mental sekiranya selama ini ada terguris, terkasar bahasa, terlepas bicara. Maaf sebanak-banyaknya. Terima kasih juga buat insan-insan yang sudi memberi sokongan, membantu, berjasa secara langsung mahupun tidak. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baik kalian.

Sempena Syawal yang hadir dan Ramadhan yang berlalu, semoga kita akan lebih maju lagi pada masa akan datang bagi meningkatkan amalan di dunia dan akhirat. InsyaAllah...


Wallahu'alam...

Saturday, September 05, 2009

Jatuh Cinta Padamu Mira

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum w.b.t, malam tadi sedang aku melayari internet sambil mencari-cari artikel menarik untuk dibaca secara tak langsung terjumpa si dia yang bernama Mira sekaligus aku jatuh cinta pandang pertama. Lantaran kecantikkan yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T buat Mira, mengakibatkan aku tidak dapat menahan segala godaan biarpun di bulan Ramadhan yang mulia ini. Lantas, aku yang sudah gila bayang ini tanpa membuat apa-apa perkiraan terus memuat turun Mira V2 hasil sentuhan sen7. Warna ton gelap dan juga hiasan bagai ukiran yang begitu artistik membuatkan Mira lebih segak dan padan untuk digayakan dengan Linux pilihan anda agar tampak garang sentiasa. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita menikmati keindahan yang sebegini.

Tema GTK2.x ini juga didatangkan dengan tema Conky-Mira, monitor sistem yang ringan tapi lebih gah berbanding monitor sistem yang lain. Disebabkan oleh tema-tema serta kebolehan Linux yang bebas lagi merdeka ini jugalah aku menggunakan Ubuntu sebagai sistem operasi utama seharian. Tanpa melengahkan masa, aku sajikan buat tatapan korang semua paparan skrin yang baru sahaja aku rakamkan. Silakan Mira....