Showing posts with label hijrahku. Show all posts
Showing posts with label hijrahku. Show all posts

Thursday, December 16, 2010

SIBUK. Auto Tracker, Anisoptera. Salam Maal Hijrah 1432H

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum WBT. Kesibukan di tempat kerja membataskan aku untuk terus mengemaskini blog dengan kadar yang lebih kerap sehinggakan terlepas untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah yang ke 1432. Semoga tahun yang baru ini melahirkan azam yang kuat untuk berhijrah ke arah yang positif. Yang pasti, berhijrah itu biar dengan hikmah dan istiqamah. Itu yang terbaik. Sekadar mampu bercerita tentang apa yang sangat disibukkan oleh aku di Arena Complex, Batu Berendam.





Anisoptera AIMAV dalam pembikinan

Projek Anisoptera AIMAV terpaksa aku tangguhkan beberapa waktu kerana terpaksa melibatkan diri dengan projek Auto Tracker. Auto Tracker yang dibangunkan adalah sejenis alat yang dipasang dengan antenna dan mampu bergerak secara automatik mengikut arah kedudukan pesawat yang sedang terbang. Antenna (patch) sesebuah pesawat perlu menghadap pesawat yang sedang terbang bagi menghantar dan menerima gelombang.

Auto Tracker dan Auto Tracker Controller

Auto Tracker ini dibangunkan oleh beberapa orang dan aku bertanggungjawab dalam memastikan litar perantaraan komputer dan juga bahagian mekanikal berkomunikasi dengan lancar. Nampak seperti mudah namun begitu berbagai-bagai masalah yang dihadapi sehingga hari ini. Walaubagaimanapun, aku telah berjaya mengenalpasti masalah pergerakan Auto Tracker tersebut dan dengan harapan, ia akan berjaya speenuhnya hari ini.

Doakan kami!

Wallahu'alam.

Wednesday, June 10, 2009

'Handphone' Cicah Teh Ais

بسم الله الرحمن الرحيم





Itulah, siapa suruh gatal sangat tangan duk main 'handphone' waktu menghadap rezeki Allah.

Kan dah dapat pengajaran. Lain kali jangan main-main semasa makan, bersyukurlah dengan rezeki Allah.

Jangan jadi macam aku, masa makan tengah hari main-main dengan handphone.


Sekali terlepas masuk dalam teh ais. Dapat lah minum teh ais berperisa Sony Ericsson.

Memang rezeki semalam. Dan juga memang tiada rezeki nak terus guna handphone tersebut lebih lama.

Perlu beli yang lain sebab handphone tersebut dah sewel lantaran terminum teh ais yang tidak sepatutnya.

Walaupun memang tiada dalam instruction manual yang handphone tersebut dilarang keras meminum teh ais, namun ia sudah pun termaktub dalam logik akal elektronik bahawa air adalah sejenis konduktor yang mengalirkan arus sekaligus merenjatkan komponen-komponen dalam handphone secara rambang.

Handphone dah sewel. Rezeki handphone lain nampaknya.

Kepada rakan-rakan, mohon maaf sekiranya panggilan dan mesej pesanan ringkas anda tidak berjawab. Harap maklum.

Sekian.

Moral cerita :

1. Bersyukur kepada Allah dengan apa yang ada
2. Jangan bermain ketika menghadap rezeki (pesan mak selalu degil, ya Huzaifah)
3. Handphone tidak perlu minum kerana ia tidak dahaga teh ais.

Wallahu'alam.

Saturday, June 06, 2009

Debu-debu Dosa

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum w.b.t . Di kesempatan ini saya ingin memohon maaf kepada semua pembaca setia Hijrah Huzaifah lantaran blog yang sudah lama tidak dikemaskini. Bagi mengurangkan kesunyian blog, saya kepilkan bersama nasyid yang menyentuh kalbu selajur memupuk keinsafan. Terimalah Debu-debu Dosa dari Hijjaz.



Debu-Debu Dosa

Artist: Hijjaz
Album: Damai
Song Category: Nasyid


Ke arah mana halanya
Bagi insan yang terleka
Mengejar nikmat dunia
Bagaikan hidup selamanya
Tak peduli dosa noda
Seksa azab neraka
Hidup jauh dari rahmatNya

Terpedaya pada dunia
Pentas ciptaan manusia
Terlupa pada segala
Mengikut nafsu semata
Membiar syaitan beraja
Di hati dan juga jiwa
Mengejar dunia penuh debu dosa

Teguhkanlah iman dalam diri
Moga dikau akan merasai
Betapa indah nikmat Ilahi
Dan yakin kau akan dirahmati

Harus kau percaya dengan pasti
Dunia tidak kekal abadi
Hanya menguji cekalnya hati
Sebagai khalifah yang sejati

Tak perlu kau meragui
Andai teguh keimananmu
Pasti bahagia menanti
Di akhirat yang abadi

Monday, May 04, 2009

Komputer Riba Pemilik 6 Syarikat

بسم الله الرحمن الرحيم


Ehem ehem... Wahhh.. Bangganya rasa dapat menyelenggara dan membaikpulih komputer riba kepunyaan seorang 'BOSS' yang mempunyai enam buah syarikat! Memandangkan peluang yang diberi dan 'BOSS' ini juga seorang yang sangat berbudi bicara, aku cuma mengambil masa satu malam untuk menyiapkan komputer ribanya. Aku juga cukup memahami yang beliau memerlukan alat ini untuk membuat kerja-kerja terutama sekali untuk mengemaskini blog beliau disamping meng-atas-talian-kan diri menggunakan perisian Yahoo Messenger :P .

Dan selesai sudah tugas aku kali ini, sempat lagi aku menulis entri ini dengan menggunakan komputer riba beliau. Minta izin ya Cik Boss untuk guna sebentar. Satu entri sahaja, tak banyak pun. Semua sudah siap cuma tinggal menunggu data-data yang di'backup' di'restore'kan kembali sahaja. Lambat juga... ohh... lima minit sahaja lagi untuk siap disalin.. Aku perlu siap-siap untuk ke Kuala Lumpur semula, sambung nanti dengan entri yang lebih bermanfaat insyaAllah.

Wallahu'alam.

Sunday, May 03, 2009

"Jom Skate." "Bila?" "Hari ini lah"!

بسم الله الرحمن الرحيم


*Ring... ring....*
"Assalamualaikum.."

"Waalaikumussalam"

"Jom skate."

"Bila?"

"Hari ni lah"

"Pukul berapa?"

"Pukul berapa kau boleh keluar?"

"Kena balik sebelum pukul 6"

"Sekarang lah."

"Ok, abang terus pergi ke Sunway."

"Kau naik apa?"

"Ab naik dengan kawan."

"Ok, jumpa kat sana."

Jom Rbk 3K, kita free skate hari ini puas-puas!! Nanti hari Jumaat ada kertas terakhir, "Innovation Management" dan sudah lama aku tidak bersama dengan akhiku. Mari kita terus merapatkan ukhwah ini ya akhi!

Wallahu'alam

Tuesday, April 28, 2009

Selesai Fizik Kejuruteraan II

بسم الله الرحمن الرحيم





Alhamdulillah, hari ini selesai sudah kertas Fizik Kejuruteraan II. Memang mencabar kewibawaan calon-calon yang sering mengulangkaji pada saat-saat akhir seperti aku, hoho. Tapi tak mengapa sebab rasanya alhamdulillah juga saat menjawab tadi biarpun bersin tak henti-henti sehingga terbang hingus-mingus. Kifarah lagi agaknya tapi alhamdulillah juga lagi kerana dengan ketidaksihatan ini, moga terampun dosa-dosa yang menggunung tinggi (ya Allah, ampunilah dosa hambaMu yang hina dina ini) .

Esok, kertas yang lebih mencabar. Kertas apa? Sistem Pengoperasi (Operating Systems) yang ditunjuk ajar oleh Sifu Redhat iaitu En. Syaiful Nizam dan mesti mahu dapat terbaik untuk kertas ini. Kenapa? kerana di dalam kuliah subjek inilah melekat nama 'Abang Ubuntu' sampai sekarang. Asalkan nama disebut En.Sifu, pasti ada yang menyampuk dengan panggilan 'Abang Ubuntu!!!!' . Fuh, mencabar sungguh kertas ini.

En. Sifu Razman, akan daku sahut cabaranmu itu untuk mencapai gred cemerlang dalam subjek ini insyaAllah. Kenang daku dalam setiap kali doamu, sifu! Oh, sahabat-sahabat minta tolong doa juga buat Encik Abang Ubuntu sebab insyaAllah apabila kalian mendoakan sahabat-sahabat dan insan lain, itulah doa gred pertama (yang terbaik) . INSYA-ALLAH ~

Wallahu'alam

Saturday, April 25, 2009

Wajah Baru Hijrah Huzaifah!

بسم الله الرحمن الرحيم




Setelah sekian lama merancang untuk merubah wajah Hijrah Huzaifah, hari ini aku melaksanakan segala yang telah disusun terlebih dahulu dan alhamdulillah. Hijrah Huzaifah kini tampil dengan wajah baru bertemakan merah sebagai warna pilihan! Masih terdapat beberapa aspek yang memerlukan sedikit sentuhan tetapi akan aku ubah secara perlahan-lahan agar Hijrah Huzaifah dapat terus berfungsi di atas talian.
Buat rakan-rakan 'blogger' dan pembaca sekelian, komen-komen anda amatlah dialu-alukan! Terima kasih.

Mari Muat Turun Ubuntu 9.04 (Jaunty Jackalope)

بسم الله الرحمن الرحيم




Semenjak 2-3 hari yang lalu saya cuba untuk memesan CD Ubuntu versi terbaru iaitu 9.04 (Jaunty Jackalope) melalui laman web https://shipit.ubuntu.com/ . Ubuntu menyediakan khidmat pemberian CD secara percuma kepada sesiapa yang berminat untuk menggunakan Ubuntu dan sememangnya ia adalah percuma 100% . Selama ini, sejak dari versi 5.04 lagi saya sudah memesan CD Ubuntu dari Canonical Ltd. sehingga versi 8.10 (Intrepid Ibex). Namun kali ini saya telah menghadapi masalah di mana apabila saya cuba memasuki laman web untuk memesan tetapi gagal kerana mereka telah mengeluarkan mesej ini.

Please try again

Thanks for your interest in ordering Ubuntu CDs!

Ubuntu's ShipIt CD ordering system is offline right now due to exceptionally high interest following the release of Ubuntu 9.04. Come back here in a day or two if you'd like try again.

The best way to get hold of Ubuntu 9.04 right now is to download a CD image via BitTorrent.

Visit the Ubuntu download site.

Thanks for your patience.


Kelihatan nampaknya tiada rezeki pada kali ini untuk memiliki CD Ubuntu secara percuma, maka marilah kita memuat-turun sahaja ISO ataupun fail "image" yang kemudian boleh dirakam (record/burn) ke dalam CD kosong.

Download Ubuntu 9.04!

Thursday, April 23, 2009

Manusia, Ciptaan AI Paling Sempurna

بسم الله الرحمن الرحيم




Termenung seketika aku di perpustakaan kampus dan tika itu juga terlintas di sudut benak mengenai projek semester akhir nanti yang semakin menghampiri. Projek yang berkemungkinan menerapkan elemen-elemen AI atau Artificial Intelligent iaitu kepintaran buatan. Apabila timbul perkataan AI, sudah pasti 'robot' akan menjadi kaitan utama kerana robot adalah ciptaan yang pintar yang mampu meniru perbuatan manusia.

Pernah ketika aku mengayuh basikal persoalan ini timbul di fikiran. Manusia mencipta mesin-mesin dan alatan yang AI dan ingin mengejar AI yang sesempurna mungkin. AI yang boleh mempelajari dengan sendirinya seperti manusia sendiri. Namun, sedarkah manusia bahawa sebenarnya kita sendiri adalah ciptaan yang AI. Dicipta oleh Yang Maha Kuasa, Allah s.w.t dan diberi akal, ciptaan yang tidak diberi kepada makhluk lain selain Manusia.

Kerana akal inilah manusia menjadi makhluk yang paling sempurna. Sesungguhnya kita memang tidak akan mampu mengejar ataupun tidak akan menyamai dengan hasil ciptaan Allah s.w.t. . Mata yang mampu melihat, telinga yang mampu mendengar, lidah yang mampu berkata-kata indah. Dari manakah datangnya kemampuan itu?

Bersyukurlah kita kepada Allah S.W.T di atas segala kurniaanNya dan semoga kita saling ingat mengingati sesama kita. Terkadang, aku juga terlupa akan segala nikmatNya dan lalai dengan segala kemudahan yang diberi. Ya Allah, jadikanlah aku dan semua saudaraku sebagai hamba-hambaMu yang bersyukur.

Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari setetes air mani yang bercampur. Kami hendak mengujinya dengan beban perintah dan larangan. Karena itu kami jadikan ia mendengar dan melihat. Sesungguhnya kami telah menunjukinya jalan yang lurus: Ada yang bersyukur, namun ada pula yang kafir. (Al-Insan: 2-3)

Tuesday, April 21, 2009

Meredah Peperiksaan

بسم الله الرحمن الرحيم




Majoriti varsiti di tanah air kini dalam bibit-bibit peperiksaan penghujung semester dan bagi Universiti Kuala Lumpur yang bakal menjadi salah satu varsiti awam, minggu hadapan ialah penentu segalanya. Biarpun minggu ini adalah minggu ulangkaji, namun masih terdapat kuliah-kuliah yang berlangsung. Sebagai penutup barangkali ataupun mungkin kerana terpaksa demi mengakhiri topik yang perlu dikhatamkan oleh pelajar kuliah. Aku sendiri masih mempunyai beberapa kuliah terakhir yang perlu dihadiri dan semuanya adalah pembentangan akhir bagi mengutip mata-mata peratusan kerja kursus.

Baru-baru ini aku kekurangan peluang menulis isi-isi yang menarik terutama sekali tazkirah untuk dikongsi bersama. Ketandusan pemikiran yang lahir dari hati serta keikhlasan menjadi titik sebab kurangnya penulisan sebegini dan aku hanya mampu menceritakan sedikit sebanyak kehidupan harian yang berlalu. Sudah semestinya peluang yang dicari itu adalah begitu payah untuk digandingkan bersama ilham dan angin penulisan yang tidak tahu bila lagi hadir.

Seribu kemaafan aku pohonkan bagi semua sahabat dan pembaca Hijrah Huzaifah. Kesibukkan yang melanda turut menjadi penyebab kelembapan penulisan dikemaskini. InsyaAllah, akan aku perbaharui dan kongsikan segala ilmu dan buah fikiran yang terlintas pada masa akan datang. Buat semua rakan dan sahabat, selamat menduduki peperiksaan dan semoga berjaya aku doakan buat kalian.

Wallahu'alam

Sunday, April 19, 2009

PC Untuk Dak Dayah

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum w.b.t.... Akhirnya selesai jua tugas hari ini. Pasang dan menyempurnakan dengan sebaik mungkin sebuah komputer yang pada mulanya cuma bermula dengan sekeping "mainboard" dan "processor (cpu)". Hasil dari pengumpulan semula barang-barang lama yang masih boleh digunakan dan alhamdulillah, sempurnalah sebuah komputer peribadi yang aku dedikasikan buat adik sepupuku yang sedang membuat persiapan ke matrikulasi dalam masa terdekat ini insyaAllah. Terima kasih buat Dato' (Dak Ateh) kerana menyumbangkan "ram" dan juga "power supply", jasamu akan ku kenang dalam doaku dan jaga dirimu di rantau orang (Kano). Singgah di Piramid Giza jangan lupa naik unta, nanti kita boleh borak sama-sama.

Kepada masyarakat yang bukan berasal dari Melaka, perkataan "dak" digunakan apabila merujuk kepada seseorang yang dikenali seperti penggunaan perkataan "si", contohnya "si Abang" tetapi di Melaka menggunakan "dak Abang" (akulah tu). Buat sepupu sepapat sekelian, jangan iri hati kepada dak Dayah sebab komputer peribadi ini memang telah dijanjikan buat beliau (lagipun korang semua dah ada "laptop" kan?). Akhir kata, selamat menggunakan teknologi sebaik mungkin dan gapailah setinggi-tinggi ilmu dengannya.

nota kaki:
"Entry" ini ditaip menggunakan "PC" yang baru sahaja sempurna dipasang dan diselenggarakan.
Foto tidak dapat dimuatnaik memandangkan tiada peralatan "bluetooth" bagi pemindahan foto dari telefon bimbit. Abang Zai balik dulu ya.. Belajar rajin-rajin, jangan guna untuk main "game" sahaja.

Wallahu'alam.

Saturday, April 11, 2009

10 Sebab Mengapa Kita Perlu Gunakan Perisian Yang Tulen (Original)

بسم الله الرحمن الرحيم




  1. Halal lagi Suci (Yang cetak rompak mungkin haram/syubhah)

  2. Terpelihara dari segala anasir-anasir yang tidak baik kerana perisian cetak rompak berkemungkinan besar telah dicemari oleh virus yang mampu mencuri data-data peribadi kita secara tidak langsung.

  3. Selamat dari diserbu dan disaman sekurang-kurangnya RM20,000 kerana memiliki perisian cetak rompak.

  4. Perisian tulen lebih efektif dan stabil berbanding produk cetak rompak yang telah digodam (hack).

  5. Memartabatkan hak-hak pemilik perisian terutamanya warga Malaysia dan beragama Islam.

  6. Menggalakkan pertumbuhan perisian berasaskan sumber terbuka (open source).

  7. Memajukan industri perisian negara.

  8. Mengurangkan risiko kerosakan komputer akibat diserang virus dari perisian cetak rompak.

  9. Memupuk sikap lebih menghargai sesuatu perisian.

  10. Memberi peluang kepada orang seperti saya untuk menulis idea-idea yang tercambah ke dalam blog.
huzaifah.org dengan ini menyatakan terang-terangan hasrat bersama, menyokong perisian tulen dan membantah perisian cetak rompak! Islam adalah cara hidup!
Wallahu'alam...

Friday, April 10, 2009

Guna Windows 7? Biar Betul?

بسم الله الرحمن الرحيم


Hari ini aku membuat satu tindakan drastik akibat kelembapan Windows Vista yang begitu melampau. Aku telah mem-format Windows Vista lalu meng-install Windows 7 pre-release yang diberikan oleh Imran. Aku adalah pengguna Ubuntu dan pengguna Windows dalam masa yang sama memandangkan terdapat sebab musabab yang kukuh untuk aku menggunakan Windows (dual-boot) di dalam komputer riba ku ini. Antara sebabnya ialah kebanyakkan pelanggan dan sahabat-sahabat menggunakan Windows dan aku perlu terus bersaing dengan diri sendiri untuk meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan bagi membanteras segala jenis masalah di dalam sistem pengoperasi Microsoft ini. Tambahan lagi, Windows Vista adalah sistem pengoperasi masa kini lantas menjadi penyebab untuk aku menggunakannya dan alhamdulillah, komputer riba kecintaanku ini memang disertakan dengan Windows Vista Home Premium (Genuine, Halalan Toiyyiban) :D .



Tetapi hari ini, apabila Adobe Photoshop CS4 dibuka untuk pengubahsuaian grafik, Ya Allah! Terlalu kura-kura (maafkan hamba si kura-kura) lagaknya. Pergerakan penunjuk tetikus yang tidak mampu langsung mengejar gerakan arnab di skrin. Lantas aku putuskan untuk melontarkan sahaja Windows Vista ini ke dalam ruang maya iaitu format.


Sebaik Windows 7 selesai di install, ia lebih perlahan dari Windows Vista yang baru sahaja aku buang sebentar tadi. Oh, rupa-rupanya pemandu grafik masih belum di-install, memang patutlah perlahan. Aku pun update serta mengaktifkan Windows 7 dan seterusnya me-rebootkan komputer riba ini.



Hasilnya? Memang pantas sesuai dengan nombor 7 kegemaran aku. Bagaimana pula dengan Ubuntu? Masukkan CD dan repair semula GRUB supaya dapat dual-boot kembali. Semoga cepat-cepat Microsoft keluarkan keluaran sepenuhnya (full version) bagi Windows 7 supaya pengguna-pengguna Windows dapat bergerak lebih pantas dari kura-kura.


Wednesday, April 01, 2009

Kesibukan Terulung

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum w.b.t... kepada semua pembaca, umumnya sekelian sahabat-sahabat saya. Maaf kerana saya terlalu sibuk sehingga tidak mempunyai ruang untuk mengisi kekosongan blog pada waktu ini. InsyaAllah akan saya kemaskinikan dengan pengisian-pengisian jika terdapat kelapangan kelak. Namun begitu ingin saya kongsikan bersama pembaca, peringatan yang sempat diberi oleh seorang sahabat pada hari ini.


Sunday, March 22, 2009

Freelance Terbaru

بسم الله الرحمن الرحيم





Projek freelance terbaru kali ini ialah mendirikan rekabentuk dan membangunkan pembentangan e-Pembelajaran menggunakan Macromedia Flash 8.0 Pro (sekarang dikenali sebagai Adobe Flash). Harap maaf, gambar tidak boleh dipaparkan dengan jelas kerana ianya adalah Hak Cipta terpelihara empunya projek tersebut (pelanggan).
Ya Allah jika ada rezekiku di langit maka turunkanlah; dan jika ada rezekiku di bumi maka keluarkanlah; jika sukar maka permudahkanlah, dan jika ianya haram maka bersihkanlah, dan jika ia jauh maka perdekatkanlah, dan jika ia dekat maka permudahkanlah; dengan kebesaran dhuhaMu, keagungan, keindahan, kekuatan, dan kekuasaanMu. Berilah padaku sebagaimana Engkau berikan pada hamba-hambaMu yang soleh.

Semoga Allah cucuri rahmat ke atas penghulu kami Muhammad, keluarga dan sahabat sekalian. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.

Monday, March 16, 2009

Ya Allah, Kurniakan Daku Kekuatan

بسم الله الرحمن الرحيم




Di saat ini aku sangat memerlukan kekuatan dalaman iaitu kekuatan rohani. Ternyata, begitu lemah imanku kerana goyah dan murung bertandang ke tapak jiwa yang telah aku pasakkan kekuatan sebelum ini. Telah tampak kabur dan samar-samar pengisian dalam diri yang tidak mampu memberi sokongan kekuatan pasak itu. Aku penuh dan limpahkan perjalanan seharian dengan kerja dan kesibukkan namun ia tetap ingin bersinggah menyerang tembok diri yang semakin luntur dan retak.

“Ya Allah, aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung pada-Mu dari kelemahan dan kemalasan; dan aku berlindung pada-Mu dari sikap pengecut dan bakhil; dan aku berlindung pada-Mu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.”


“Ya Allah, sihatkanlah badanku, sihatkanlah pendengaranku dan sihatkanlah penglihatanku.”


“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung pada-Mu dari kekafiran dan kefakiran; Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari azab kubur, tidak ada Tuhan selain Engkau.”

Wednesday, March 11, 2009

Kun Fa Yakun : Kejaiban Yang Menambah Keyakinan

بسم الله الرحمن الرحيم




Dari malam semalam, talian telefon mudah alih aku telah disekat dek penggunaan yang sudah mencecah had siling yang ditetapkan. Lalu aku masuk ke dalam laman web Celcom untuk pengguna, login dan terus klik pada Payment. Malangnya, sistem tidak dapat berfungsi untuk proses pembayaran bil secara atas talian. Petang tadi, aku membuat bayaran bil melalui CimbClicks dan segera memaklumkan kepada perunding perkhidmatan Celcom bagi membuka sekatan. Paling cepat setengah jam dan paling lewat ialah 24 jam bersamaan dengan satu hari.

Setelah setengah jam berlalu, aku terus mencuba tetapi masih gagal membuat sebarang panggilan dan menghantar sebarang mesej pesanan ringkas. Jam demi jam berlalu tetapi talian yang disekat masih belum dibuka lantaran menyukarkan aku untuk berhubung atas urusan penting. Malamnya aku perlu berjumpa dengan seorang Profesor Madya atas urusan ala-ala rasmi tetapi masalah ini membuatkan aku gusar kerana tidak dapat berhubung dengan wakil beliau bagi memastikan perjumpaan kami berjalan dengan lancar.

Walaubagaimanapun, alhamdulillah kerana setelah wakil beliau menghantar satu pesanan ringkas, aku cuba membalas dan ternyata, Message has been sent. Aku berbalas mesej pesanan ringkas menentukan masa dan tempat tatkala hemat diri untuk ke Melawati lantaran perjumpaan itu. Aku tiada masalah membuat beberapa panggilan kepada wakil Profesor Madya tersebut dan ditakdirkan, aku dan rakan-rakan selamat sampai ke majlis yang begitu mencurah-curah rezeki untuk kami kiranya, alhamdulillah. Perbincangan disamping pengisian oleh Profesor begitu lancar dan penuh berisi mengisi kekosongan ruangan memori-memori kami dan tidak lupa juga mi kari yang mengisi kekosongan perut-perut kami, alhamdulillah.

Selesai, aku dan rakan-rakan pulang ke rumah. Sebaik tiba sahaja di rumah, aku menghantar satu mesej pesanan ringkas buat wakil Profesor tersebut bagi mengucapkan ribuan terima kasih sambil bertanyakan saiz jaket beliau namun, Message barred. Retry? Ahh... masakan begini... disekat lagi? Aku lantas menghubungi lagi khidmat pelanggan Celcom dan bertanyakan masalah talian yang disekat kembali. Perunding tersebut menjawab, "Maaf encik, kes encik masih dalam proses. Sila tunggu selama 24jam." . Aku menjawab yang aku telah menghantar mesej dan membuat panggilan tanpa sebarang masalah sebelum itu. Tetapi jawabnya lagi "Encik pasti encik ada buat panggilan dan hantar SMS? Report kami di sini menyatakan yang talian encik masih disekat dan kami tidak membuat sebarang bukaan sekatan. Kes masih dalam proses.". Aku serta merta terkedu... "Takpelah.. terima kasih." aku terus mematikan panggilan hotline Celcom. Bagaimana pula sebelum pergi ke Melawati untuk berjumpa Profesor boleh buat panggilan keluar dan bila sampai di rumah talian disekat kembali? Lagi menghairankan bila orang Celcom tiada membuat sebarang bukaan sekatan dan kes masih dalam proses.

Hairan? Tiada yang mustahil bagi Allah S.W.T dan ini membuatkan aku bertambah yakin akan kekuasaanNya. Allah telah mempermudahkan urusan dalam perkara ini bagi mempertemukan aku dengan orang yang dikehendakiNya dan alhamdulillah. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemurah lagi Maha Pengampun.

“Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia” (Yasin, 36: 82).
Wallahu'alam...

>>>>>>

Tuesday, March 10, 2009

Temuduga Kerja

بسم الله الرحمن الرحيم


Malam ini aku akan menduduki satu temuduga bagi mengisi apa-apa kekosongan jawatan di dalam UMP Holdings Sdn. Bhd. (InsyaAllah). Penemuduga yang bakal menemuduga aku ialah Prof. Madya Wan Maseri Bt Wan Mohd, salah seorang pakar di UMP dan pernah mencatatkan kecemerlangan apabila berjaya mengeluarkan produk berbentuk sistem yang direka dan dibangunkan oleh pasukan yang diketuai oleh beliau.

Tidak pernah aku berdebar sebegini dan inilah kali pertama aku agak 'cuak' untuk ditemuduga. Di sini agaknya barulah segala kepakaran dan ilmu yang ditimba bakal teruji. Doakan aku tenang dan lancar ketika menjawab segala pertanyaan yang bakal diajukan malam nanti. Ya Allah, permudahkanlah segala urusanku di dunia dan di akhirat ~ Amiin...

Wallahu'alam...

Sunday, March 08, 2009

Kemalangan Di Kala Senja - Kifarah Lagi?

بسم الله الرحمن الرحيم


Baru-baru ini aku selalu hilang tumpuan dan seringkali melompat masuk ke awangan tanpa amaran oleh fikiran secara tiba-tiba. Sering juga kemalangan hampir berlaku dek kehilangan tumpuan secara spontan ini dan baru sahaja tadi, sebuah Honda c70 lampu petak merempuh kuat bahagian tepi depan kereta Mak yang dipandu aku. Ahhh... Bagaimana sahaja boleh terjadi... Lampu isyarat ke kanan sudah ku beri... Redha... perlu redha dan pasti redha dengan segala ketentuanNya. Mungkin sekali samar-samar senja menjadi tambahan sebab. Besar hikmahnya dan kali ini aku terlepas solat maghrib berjemaah tepat waktu kerana insiden berlaku benar-benar di hadapan pintu masuk Masjid di Batu Caves. Salah penunggang itu juga kerana memotong di garisan kembar. Siapa suruh, sudah baik-baik sahaja aku berikan lampu isyarat dan hendak membelok ke masjid tiba-tiba datang tanpa diundang sambil melanggar undang-undang.

Syukur alhamdulillah cuma C70 penunggang yang dikenali sebagai 'Gboy' (setelah berkenalan untuk sesi ganti rugi di kemudian hari) dan kereta Mak sahaja yang cedera. Insiden yang pasti akan lebih mengingatkan aku untuk berhati-hati dan lebih kerap menjeling ke arah cermin sisi demi mendapatkan kepastian yang lebih tinggi dan untuk mengelakkan kemalangan seperti ini berlaku lagi.

Aku muhasabah diri dan baru sahaja aku teringat. Ah, ini pasti kifarah dosa hari ini. Petang tadi Mak pesan beli Bahulu Classiq di Jusco Equine tetapi aku abaikan sebab bahulu tu untuk adik di rumah dan aku agak malas untuk ke Jusco memandangkan hari ini hari Ahad dan sudah pasti tempat letak kereta penuh sepenuh-penuhnya. Maafkan anakmu, Mak kerana tidak patuh suruhanmu. Tapi jangan risau sebab dah beritahu pada Mak sejurus kemalangan berlaku dan Mak pun dah cakap 'okay'. Ya Allah, ampunkan dosaku kerana kadang-kadang terleka dengan suruhan ibuku...

Wallahu'alam...

..........

Saturday, March 07, 2009

Maulidur Rasul dan Mid Term

بسم الله الرحمن الرحيم




Khutbah Jumaat yang lalu banyak memetik tentang sirah Rasulullah S.A.W bersempena dengan Maulidur Rasul pada 9 Mac ini bersamaan dengan 12 Rabiul Awal 1430H. Di antara cerita yang dibaca oleh khatib pada hari itu adalah mengenai kehidupan Rasulullah S.A.W dan yang paling kuat menusuk ke dalam ingatan ialah perihal penyembahan taghut pada waktu itu. Taghut adalah sesuatu sembahan selain dari Allah S.W.T dan pada zaman Jahiliyah taghut terdiri daripada berhala-berhala, pohon-pohon nan rimbun, batu-batuan dan gunung-ganang yang rupanya gagah. Bukan itu sahaja malah api dan juga haiwan turut menjadi sembahan.

Kini, akhir zaman sudah menghampiri. Perilaku manusia semakin jahil dan menandakan zaman Jahiliyah sudah kembali. Taghut pada zaman ini mungkin bukan lagi seperti di zaman Jahiliyah sebelum kerasulan Rasulullah S.A.W tetapi lebih moden iaitu pelbagai ideologi yang karut-marut, pembesar-pembesar hidung tinggi yang dipuja-puja, artis-artis yang disanjung-sanjung serta dimartabatkan lebih tinggi dari keagungan Allah S.W.T. .

Berwaspadalah kita insyaAllah. Aku pun perlu sentiasa beringat-ingat dan berjaga-jaga agar tidak terjerumus mengikut nafsu dan hasutan yang sentiasa memburu iman yang dipupuk. Entri kali ini aku tuliskan ketika berada di rumah Mak Bah sambil menunggu adik bongsu bersiap-siap untuk dijemput ke rumah Telok Mas. Peperiksaan Mid Term yang menanti benar-benar di anjung Hari Keputeraan Rasulullah S.A.W. 10 Mac bakal merentap segala otot-otot di kepala dengan keserabutan assignments yang diberi.

Test Operating Systems - 10 Mac
Test Engineering Physics II - 10 Mac
Test Innovation Management - 11 Mac
Test Real-Time & Embedded Systems - 13 Mac

Assignment Engineering Physics II - 10 Mac, 13 Mac
Lab Reports Operating Systems - 10 Mac
Assignment Professional Communication II - 10 Mac
Berwaspadalah Huzaifah!! Di kala kerisauan dengan beban-beban tersebut, masih terpaksa berjalan ke Melaka dan ke Puchong (ikhlas demi Mak tercinta) namun tidak mengapa, kerana kasih dan cinta Mak di bawa hingga ke syurga ~ Lupa nak tambah. Tengah menaip-naip entri ini, pakcik aku Pak Cu bawa pulang ikan parang yang agak besar. Baru balik dari memancing di laut. Alhamdulillah ada rezeki...


Wallahua'alam...