Showing posts with label cerita aku. Show all posts
Showing posts with label cerita aku. Show all posts

Sunday, September 15, 2013

Hampir Kemalangan. Alhamdulillah ESP Berfungsi!

بسم الله الرحمن الرحيم




Assalamualaikum WBT. Kali ni nak cerita pengalaman dua hari lepas. Dalam perjalanan pulang dari Kajang ke Kuala Kubu Bharu, tika dan waktu melalui Jalan Sungai Tua di kala hujan. Memang detik cemas sungguh bila kat selekoh aku potong sebuah motosikal (dua lorong, bukan satu lorong). Aku kat lorong kanan, motosikal tu kat lorong kiri. Elok-elok tengah potong, tiba-tiba kereta aku semacam tergelincir dan steering kereta terus memutar ke kanan. Aku hilang kawalan. Jantung macam terberhenti sekejap. Tiba-tiba aku nampak satu indicator menyala dan kereta secara sendiri menstabilkan dirinya. Skreet skretttt... (bunyi tayar sudah tentu). Sedar-sedar kereta dah tegak balik dan aku pun terus pandu macam biasa. Alhamdulillah. Syukur setinggi-tinggi ke hadrat ilahi. Ajal belum sampai lagi.


Fungsi ESP

Rupanya, indicator yang menyala kat kokpit kereta tu menandakan ESP tengah mengambilalih pemanduan ataupun dengan erti kata lain sedang menstabilkan kembali kereta yang tergelincir. Nak tahu lebih lanjut tentang ESP boleh baca kat sini. Dengan adanya ESP, in sya Allah ia sangat-sangat membantu sekiranya kereta yang dipandu hilang kawalan.

Wallahu'alam.

Sunday, September 08, 2013

"Orang Susah Kita Kena Tolong" - Prof. Dato' Dr. Radin Umar

بسم الله الرحمن الرحيم


Ziarah pada awal tahun 2013 - Pakcik masih boleh berjalan

Assalamualaikum WBT. Pagi semalam aku sekeluarga (bertiga je pun dengan anak dan isteri tercinta) berserta kakak dan suami pergi menziarahi Prof. Dato' Dr. Radin Umar di rumah beliau. Setibanya di rumah beliau, kami masuk ke bilik dan kelihatan beliau berbaring di atas katil. "Assalamualaikum Pakcik", aku bagi salam dengan panggilan mesra sejak dari zaman kanak-kanak lagi. "Terima kasih datang, terima kasih datang" ujar beliau dengan suara yang amat perlahan. Sebak rasa dalam hati melihat keadaan orang yang dihormati dan disegani dalam keadaan uzur sedemikian. Kesan dari kanser usus kali kedua. Aku genggam tangan pakcik, aku usap-usap bahu beliau sambil meminta maaf dan ucapan terima kasih. "Minta maaf sebab susahkan pakcik dulu kena cari sampai kat KL", aku memetik kembali kenangan pahit manis masam masin semua ada. Kisah terdahulu aku sesat naik bas Tong Foong dari Sri Serdang sampai ke KL. Masa tu baru darjah 5. Nakal tak aku? Boleh rujuk pada link ni http://www.huzaifah.org/2010/02/ni-gila-punya-kerja.html untuk kisah tu. "Tak susah. Orang susah kita kena tolong" jawab beliau lagi. Kelihatan riak wajah yang tenang dan redha pada diri beliau. Isteri dan anak-anak juga langsung tidak memaparkan kesedihan. Muslim yang mukmin pasti redha dengan segala ketentuan kerana pasti dan pasti, ini hanyalah perjalanan sementara menuju Allah. Semoga kita semua ditempatkan dikalangan orang yang beriman, in sya Allah.

Wallahu'alam

Sunday, August 18, 2013

'Repair' Sport Rims Bengkok atau Rosak

بسم الله الرحمن الرحيم




Assalamualaikum WBT. Ni nak cerita tempat baikpulih sport rims kereta yang bengkok ataupun dah rosak. Sekian maklum jalan kat tanah air kita ni memang "cantik-cantik" sampai dah jadi kebiasaan pemandu terpaksa mengelak lubang macam main game lumba kereta. Sebelum raya baru-baru ni aku ada hantar dua biji sport rims kereta aku yang dah bengkok kritikal untuk dibaikpulih sepenuhnya. Nak beli lain tak mampu, makanya terpaksalah repair sahaja. Aku tak pernah hantar untuk repair sport rims sebelum ni melainkan hanya tahu yang kedai-kedai tayar boleh tolong hantarkan dengan kadar bayaran lebih kurang RM100-RM120 untuk setiap satu.

Di zaman serba-serbi canggih yang penuh dengan jaringan maya, aku pun menggoogle tempat yang boleh repair sport rims kereta. Daripada forum-forum internet, Wan Sing Sportrims Services adalah tempat yang dicari. Aku tak pernah tengok dan tak pernah tahu macam mana dia orang ni buat untuk pulihkan balik sport rims yang dah bengkok. Tambahan pula sport rims kereta aku yang dua biji tu memang bengkok amat sampaikan tayar pun rosak. Aku bayangkan dia orang ni mesti ada mesin yang canggih memang khas untuk baiki sport rims. Sekali masuk terus elok. Macam tu la agaknya kan.

Tapi setibanya aku kat Wan Sing Sportrims Services, sangkaan aku meleset. Tempat dia macam kedai jual tayar buruk. Macam kilang pagar besi pun ada jugak. Hati dah lain macam. Betul ke dia orang ni boleh repair sport rims kan? Lepas aku parkir kereta depan kedai tu, keluarlah seorang lelaki cina. Edwin namanya. Dia tunjukkan dalam kedai dia sport rims yang dah siap dibaikpulih. Aku tengok salah seorang pekerja sedang khusyuk mengetuk rim yang ligat berputar atas mesin. Lagak pekerja tu memang sangat pakar. Ketuk sambil rim kereta tu tengah pusing. Aku borak-borak dengan dia pasal ketuk rim ni. Sing nama dia. Dah sepuluh tahun kerja, memang pakar habis la jawabnya. Sambil-sambil ketuk, dia panaskan pakai api welding untuk melembutkan rim lepas tu sambung ketuk lagi. Dia orang ni memang bukan pakar kereta tapi pakar besi! Mesin-mesin kelihatan old school, sekadar memutarkan rim. Tapi kepakaran mereka tak dapat dinafikan.

Ilmu dan bahan yang Allah dah bagi pada kita manusia. Disebutkan lagi dalam surah Al-Hadid.

Surah Al Hadid, Ayat 25
Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Dipendekkan cerita, dia orang pinjamkan aku rim sementara untuk siapkan dua biji sport rims aku. Aku hantar pukul 12 tengah hari boleh siap dalam pukul 5 petang. Aku pesan untuk pasangkan sekali tayar baru yang aku beli. Senang kerja tak perlu dua tiga kali. Dia orang akan betulkan rim siap buat on wheel balancing. Lepas dah siap semua, bayaran hanya RM60 untuk sebiji sport rim 17 inci (asalnya RM70 tapi diskaun sebab pakai keahlian MyForte Club). Murah kan? Memang sedap pandu kereta dengan sport rims yang sudah disempurnakan kembali. 160km/j pun tak bergegar. Masih terasa amat lancar. Jadi, aku sangatlah menyarankan pada sesiapa yang ada masalah dengan sport rims kereta tu, boleh hantar ke Wan Sing ni. Jangan kata rim bengkok, yang berlubang besar penumbuk pun boleh baiki lagi. Cayalah. Ilmu Allah yang setitik ni Allah bagi, kalau kita kuasai in sya Allah memang jadi pakar.



Brother Sing, pakar besi

Bahagian hadapan kilang

Mesin baikpulih 



Ni butiran kedai Wan Sing :

Lokasi :

View Larger Map

Bersebelahan dengan KIA 3S (seberang jalan).

Tuesday, February 28, 2012

Aku Pun Dah Arduino. Hijrah.

بسم الله الرحمن الرحيم



Assalamualaikum WBT. Nak dijadikan cerita yang boleh dimuatkan dalam blog aku yang dah berkarat ni. Sekadar berkongsi ilmu yang aku sendiri pun baru nak berjinak-jinak. Ilmu Allah kan tiada batasan. Buat insan sedangkan sekelumit ilmu yang dikurniakan pun tak termampu nak dikuasai semuanya. Lantaran janganlah sombong dan jangan lokek untuk berkongsi.

Arduino - Tapak baru gabungan dunia nyata dan realiti. 



Nantikan cerita-cerita yang bakal tercoret, insyaAllah.

Friday, April 15, 2011

Bulan Madu Di Makkah. Apa Pendapat Anda?

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum WBT. Baru-baru ini aku ada mengikuti perkembangan blog seorang sahabat maya. Masya'Allah. Sungguh kagum sekali. Beliau berbulan madu di Makkah dan Madinah. Bulan madu beliau dipenuhi dengan ibadah. Ahh.. Akan ku turuti jua langkahmu insyaAllah. Apa pendapat kamu semua??

Wednesday, March 30, 2011

Hari Inilah.

بسم الله الرحمن الرحيم


Inilah hari yang ditunggu-tunggu selama empat tahun berlalu. Hari yang mencarik-carik adrenalin, mengoyakkan mata serta memukul jantung dengan pemukul GONG!! Selamat menjamu selera kawan-kawan. SVSS, GSMBHSS & Don & Lan's Vehicle Security System.






Saturday, March 12, 2011

Semangat Yang Hilang

بسم الله الرحمن الرحيم





XPDC - Semangat Yang Hilang

Jika engkau seorang
Juang hingga titisan
Rempuh tak berharapan

Nanti aku disana
Diufuk pemikiran
Lalu menghayatinya

Di dalam kubur manapun
Jasad aku ditanam
Aku akulah jua
Kita laksanakan
Mata hati yang damai
Disana kejujuran

Semarak impian
Segunung harap dipulang
Usah diragukan
Keupayaan diri

Api yang membara
Mengikutkan kata apa
Jawapannya disini
Semangat kita hilang
Kita cari pulang


Wednesday, March 09, 2011

Hijrah Huzaifah Dah Hidup Balik!

بسم الله الرحمن الرحيم



Assalamualaikum WBT aku ucapkan kepada semua pembaca yang dihormati. Seperti yang anda semua sedia dan tak sedia maklum, Hijrah Huzaifah mengalami gangguan teknikal sejak semalam akibat dari domain registrar yang telah membuat pemindahan domain kepada domain registrar yang lain atas alasan servis yang lebih baik tanpa memberitahu pemilik domain terlebih dahulu. Siapakah pemilik domain tersebut? Akulah.

Masalah ini adalah masalah yang besar bagi aku empunya domain, sebab aku telah menggunakan email dengan domain ini. Maka, domain yang tak hidup bersamaan dengan email tak sampai. Kenapalah tak diberitahu terlebih dahulu. Bukan susah sangat. Tapi alhamdulillah, kini huzaifah.org sudah kembali aktif dan bernafas. Walaupun, panel yang baru (domain registrar baru) memang lebih "bagus" dari yang sebelumnya.

Apa-apa pun, terima kasih aku ucapkan kepada semua yang terus memberikan sokongan terhadap Hijrah Huzaifah. Semoga Allah permudahkan segala urusan kalian. Wallahu'alam.

Tuesday, March 01, 2011

Kereta Rosak? Carilah Bengkel Muslim. Itu Bengkel Saudaramu.

بسم الله الرحمن الرحيم



Assalamualaikum WBT. Nak dijadikan cerita, hari ini kereta aku gagal dihidupkan. Terpaksalah aku memanggil pomen untuk memeriksa kereta aku yang tak seberapa nak sihat tu. Beberapa hari sebelum ini, memang dah bermasalah, drive shaft nya dah longgar ke rosak ke macam tu lah agaknya kot. Aku ada seorang kawan yang mempunyai bengkel kereta dan dia adalah seorang non-muslim, namun begitu memang baik dan acapkali memberi nasihat yang baik-baik untuk aku. Ketika aku rasakan kereta aku yang masalahnya bergegar-gegar dan bergoyang (drive shaft katanya), kawan tersebut memberi aku harga lebih kurang RM400 untuk dibaikpulih.

Dia juga memberikan aku nasihat untuk tidak menukar lagi drive shaft yang katanya masih boleh digunakan. Aku pun terus saja beredar dengan ucapan terima kasih tanpa dikenakan apa-apa bayaran untuk pemeriksaan itu.

Semalam, kerosakan drive shaft berkenaan semakin menjadi-jadi dan sudah sampai ke tahap bahaya nampak gayanya. Memang sangat perlu untuk aku gantikan sebelum aku mula bekerja. Tup tap, kereta pula tak boleh nak hidup. Alamak. Sudah jatuh ditimpa tangga. Memang sudah tercatat di dalam Lauh Mahfuz, kereta aku tak boleh hidup pagi ini. Aku ingat, sekadar starter yang problem sebab sebelum ini, memang begitulah tak mahu hidup tapi boleh juga dihidupkan setelah beberapa ketika. Malangnya memang kali ini langsung tak mahu.

Dan bila ditimpa musibah, bacalah doa ini :


“Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Allaahumma’jurni fii mushiibatii wakhluflii khairan minhaa ”

“Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali. Ya Allah, berilah pahala kepadaku dan gantilah aku dengan yang lebih baik (dari musibah ini).” (HR Muslim 2/632).


Bukan hanya bila ada kematian semata-mata.

Berkenaan kerosakan kereta, aku pergi ke bengkel berhampiran. Melayu muslim. Dengan segera datang memeriksa kereta aku di rumah.

"Bateri lemah ni bang"

Bateri pulak. Aduhh... Memang dugaan ni.

"Agak-agak semua sekali dengan bateri sekali drive shaft berapa ya?"

Aku tanya nak kepastian sebelum kerja membaikpulih dimulakan.

"Semua dalam RM390 bang. Drive shaft pasang siap RM180. Bateri RM190. Campur dengan minyak gear."

Aik.. kawan tu cakap drive shaft pasang siap dalam RM400. Yang ni RM180 je? Biar betul. Memang lebih afdhal untuk pergi ke bengkel saudara sendiri berbanding kawan. InsyaAllah lepas ni memang aku akan pergi ke bengkel saudara Islam sahaja melainkan andai terdesak.

Wallahu'alam.

Thursday, February 24, 2011

Doa Taubat Nabi Yunus

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum WBT. Sedang aku memandu kereta aku yang agak tak berapa nak sihat, IKIM.FM menyiarkan tentang doa-doa taubat dan antaranya ialah doa taubat nabi Yunus A.S ketika baginda berada dalam perut ikan nun. Jadi, sekadar ingin berkongsi untuk buat peringatan kepada kita untuk lebih banyak bertaubat kepada Allah SWT.

لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحانَكَ إِنّى‏ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمينَ


“Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”



Doa ini adalah diantara doa yang mustajab dan sering digunakan bersama solat sunat taubat ketika sujud yang terakhir.

Semoga kita sampai dan amalkan.

Wallahu'alam.

Tuesday, January 25, 2011

Selamat Tinggal Ubuntu

بسم الله الرحمن الرحيم



Assalamualaikum. Tiba masanya aku meninggalkan Ubuntu yang telah sekian lama bertapak di lubuk sanubari pencinta sistem pengoperasi berasaskan penguin ini. Bukan kerana benci. Bukan juga kerana sayang. Bermula dari 2004 sehingga kini sudah 7 tahun menghadap sehingga buntu memikirkan apa lagi yang mampu digali. Sekadar ingin maju ke hadapan. Setapak melangkah, biar gagah jangan goyah. Sampai ke destinasi, akan kau sedari kejayaanmu sendiri. Bagai menunggu rembulan di tengah siang, andai aku menggali lagi Ubuntu ini. Biarpun saban hari dan saban waktu, ada yang terbaru. Namun Ubuntu tetap Ubuntu. Buat teman, rakan dan taulan. Jika ilmu komputer menjadi idaman, pastikan linux dalam genggaman. Ubuntu pasti menjadi teman. Akan aku simpulkan, siapakah dia teman yang bakal menemani hidup seharian. Pengganti Ubuntu di kala bosan. Tunggu entri minggu hadapan. Sekian. Terima Kasih.

Wallahu'alam.

Tuesday, January 11, 2011

Lori Yang Tumpah

بسم الله الرحمن الرحيم


Ini sebuah kisah pada suatu hari di sebatang jalan. Ada sebuah lori membawa muatan kepingan kayu-kayan. Dijadikan cerita, si lori gagal di kawal. Hampir terbalik, melimpah muatan. Alhamdulillah tiada yang cedera mahupun tiada. Namun jalan tertutup jua. Semua hambaNya terpaksa bertapa. Menanti jalan untuk dibuka. Mari kita nikmati gambarnya.

""""
""

Monday, January 03, 2011

Why Should I Feel Like This

بسم الله الرحمن الرحيم


........... The truth is..... I shouldn't..... Yet I still ..........





Wallahu'alam.

Thursday, December 30, 2010

Tahniah Pasukan Bola Sepak Malaysia.

بسم الله الرحمن الرحيم




Assalamualaikum WBT. Sekalung tahniah aku ucapkan buat pasukan bola sepak Malaysia yang berjaya menjuarai Piala Suzuki AFF. Pasukan beginilah yang aku kira sudah lama dinanti-nantikan oleh semua peminat dan penyokong bola sepak tanah air. Prestasi permainan yang sangat baik, dan juga bersungguh-sungguh. Tahniah. Okay cukup. Aku nak sambung buat kerja. Jangan kita rakyat Malaysia tahu bola sahaja, jom kita tegakkan juga syiar Islam dan teknologi tanah air. Majulah Islam agama tercinta dan Malaysia negara makmur bahagia!

Wallahu'alam.

Wednesday, December 29, 2010

Harap Maaf

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum WBT. Semalam aku berbual dengan Baba (ayah aku) dan beliau memberitahu, untuk mem'patent'kan sesuatu kerja, ianya mestilah belum diketahui awam dan tidak disiarkan. Teguran beliau berkenaan dengan foto-foto projek yang sedang aku bangunkan dan maka dengan itu terpaksalah aku membuang foto kerja tersebut dari blog yang ku kasihi ini. Maka dengan itu hilanglah foto Anisoptera MAV tersebut dari entri ini.

Seribu kemaafan aku pohonkan dari kalian semua!



Sumber : GiMMEC

Thursday, December 16, 2010

SIBUK. Auto Tracker, Anisoptera. Salam Maal Hijrah 1432H

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum WBT. Kesibukan di tempat kerja membataskan aku untuk terus mengemaskini blog dengan kadar yang lebih kerap sehinggakan terlepas untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah yang ke 1432. Semoga tahun yang baru ini melahirkan azam yang kuat untuk berhijrah ke arah yang positif. Yang pasti, berhijrah itu biar dengan hikmah dan istiqamah. Itu yang terbaik. Sekadar mampu bercerita tentang apa yang sangat disibukkan oleh aku di Arena Complex, Batu Berendam.





Anisoptera AIMAV dalam pembikinan

Projek Anisoptera AIMAV terpaksa aku tangguhkan beberapa waktu kerana terpaksa melibatkan diri dengan projek Auto Tracker. Auto Tracker yang dibangunkan adalah sejenis alat yang dipasang dengan antenna dan mampu bergerak secara automatik mengikut arah kedudukan pesawat yang sedang terbang. Antenna (patch) sesebuah pesawat perlu menghadap pesawat yang sedang terbang bagi menghantar dan menerima gelombang.

Auto Tracker dan Auto Tracker Controller

Auto Tracker ini dibangunkan oleh beberapa orang dan aku bertanggungjawab dalam memastikan litar perantaraan komputer dan juga bahagian mekanikal berkomunikasi dengan lancar. Nampak seperti mudah namun begitu berbagai-bagai masalah yang dihadapi sehingga hari ini. Walaubagaimanapun, aku telah berjaya mengenalpasti masalah pergerakan Auto Tracker tersebut dan dengan harapan, ia akan berjaya speenuhnya hari ini.

Doakan kami!

Wallahu'alam.

Wednesday, November 24, 2010

Maka, Jadilah Aku Seorang Adik Ipar.

بسم الله الرحمن الرحيم




Sekadar ingin menyampaikan ucapan TAHNIAH buat kakakku, Umaimah Jamaludin yang telah sah diijabkabul dengan suami, Ahmad Fadzli pada Sabtu, 12 Zulkaedah 1431 Hijrah yang lalu. Dengan itu juga secara rasminya aku telah mempunyai seorang abang ipar. Di sini, aku panjatkan kesyukuran padaMu ya Allah. Semoga jalinan ukhwah yang dibina atas dasar sunnah RasulMu dan taqwa padaMu ini terus berkekalan hingga ke mahligai syurga abadi.

TAHNIAH buat Akak!

Thursday, November 18, 2010

Tentatif Minggu Ini : Exam Crypto - Persiapan Kenduri - Antenna Switching Circuit Design.

بسم الله الرحمن الرحيم



Minggu ini sangat padat dengan jadual yang perlu dikejar. Esok pagi ada kertas Cryptography. Kemudian perlu ke Jalan Pasar untuk mencari barang keperluan litar yang perlu direka. Kemudian pula perlu bergegas balik ke rumah demi persiapan kenduri. Paling aku risaukan ialah rekaan litar untuk antenna switching. Dunia RF sangatlah kompleks apatah lagi aku yang setahun jagung. Semoga Allah mempermudahkan urusan hamba-hambaNya yang soleh.

Masa itu perlu diurus sebaiknya. Menyibukkan diri dengan hal-hal yang bermanfaat lebih baik dari masa lapang tanpa berbuat apa-apa.



Maksud Surah: Al-Asr

Demi Masa!



Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian



Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Monday, November 15, 2010

Ketua Pengarah KPT Yang Tabah!

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum WBT. Tengah hari tadi aku ke rumah Prof. Dato' Ir. Dr. Radin Umar untuk menghantar kad jemputan walimatul urus akak aku. Niat asal cuma sekadar singgah untuk menyampaikan kad kerana sedang aku dalam perjalanan ke tempat kerja di Batu Berendam.



Namun, Pakcik menjemput aku naik ke rumah. Pakcik bertopeng hidung dan mulut bagi mengelakkan terkena kuman-kuman yang berhamburan di udara. "Ni fasa kimo yang last dah ni. Lepas ni tak payah kimo lagi." Pakcik memberitahu dengan nada tenang dan lega. Tampak jelas ketabahan seorang pemimpin yang telah lebih 5 bulan menjalani Kemoterapi. Rasa bagaikan sekelip mata masa berlalu. "Macam nak mati rasanya Kemo ni!".

Dalam sakit-sakit pun masih kuat menjamu kami dengan jus walaupun telah aku tegah. Tangan kebas-kebas, makanan yang tak pedas pun rasa pedas dan deria rasa menjadi kurang. Begitulah kesan sampingan Kemoterapi. Aku dan Azizul dijamu makan tengah hari oleh Makcik Syam dan kami makan bersama dengan pakcik.

Semoga pakcik lekas sembuh insyaAllah.