بسم الله الرحمن الرحيم
Hari ini, Ahad 10 Zulhijjah 1429 bersamaan
dengan 8 Disember 2008 umat Islam di Kg.Sempang Pantai Merlimau menyambut AidilAdha dalam keadaan titis-titis rahmat yang turun sejak malam tadi tanpa henti. Pagi sebelum menunaikan solat AidilAdha di masjid, Pakcik Din sempat bertanya kepada Atuk, "Tak apakah daging korban kena air hujan, Bah?". "Kita lapah di bawah bumbung, tempat yang kering insyaAllah", balas Atuk. Aku cuma mengangguk-angguk tanda membolehkan jawapan Atuk sambil mengagak-agak luas kawasan yang diperlukan dan membanding kawasan hadapan surau keluarga tempat kami berteduh saat itu.
Aku kira ini adalah antara julung-julung kali AidilAdha tiba di kala hujan tanpa henti dan kami tiba di masjid tepat-tepat waktu Pak Imam baru sahaja mengangkat takbir. Jam di 'dashboard' kereta menunjukkan angka 8 dan 25. "Wah, belum lapan setengah lagi orang dah solat", Pakcik Din pantas meletakkan kereta dan kami segera memasuki saf yang kosong. Selesai solat, kami sambung pula dengan solat sunat jenazah seorang tentera yang terkorban dan seterusnya pulang ke rumah sambil memerhati paras air di parit-parit yang semakin tinggi.
"Hujan reda nanti, Abang pergi ke kedai semalam untuk beli kanvas. Pak Sir minta beli satu lagi." Pesan Pakcik Din kepadaku tika aku tancapkan pandangan pada air di parit tempat lembu ditambat yang juga semakin memenuhi ruang dan mungkin sekali bakal merumitkan proses penyembelihan nanti. "Ya Allah, permudahkanlah urusan kami dalam menjalankan ibadah qurban ini", bisik hatiku. Aku terus mencapai komputer bimbit di ruang tamu rumah Mak Bah dan mula menaip...
........
No comments:
Post a Comment