بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum, dan saya dahului dengan alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi disaat ini masih termampu roh dan jasad ini duduk menghadap skrin hasil ciptaan manusia dengan ilmu kurniaan Allah s.w.t. Lama sudah saya renungkan dan baru tika ini molekul-molekul, campuran, unsur dan sebatian dalam tubuh ini pantas berlari meringankan diri masing-masing menjana kekuatan bagi menulis dan melontar pandangan tentang isu yang sudah lama kiranya. Namun, persoalan ini masih lagi perlu saya bangkitkan kerana dari pengamatan sekian lama ramai sahabat-sahabat dan individu yang tidak perasan atau kurang faham dalam sudut perisian dan cetak rompak.
Apa itu crack? Crack ialah satu medium yang membolehkan kita mengguna sesuatu perisian tanpa perlu mendapatkan (membeli) yang original atau sah. Ringkas kata, crack digunakan untuk memecahkan kunci sesuatu perisian agar ianya boleh digunakan tanpa perlu membeli perisian tersebut kerana setiap perisian itu telah dikunci dengan algorithm tertentu bagi mengelakkan kejadian piracy dan 'guna tanpa kebenaran'.
Pada masa kini, penggunaan perisian cetak rompak atau cracked software (perisian yang di crack) sangat berleluasa tidak kira dikalangan muslim mahupun non-muslim. Pernahkah kita terfikir bahawa perisian ini juga adalah produk ataupun harta yang dijual sebagai punca pendapatan dan sumber rezeki? Bayangkan anda mempunyai sepuluh buah kereta yang disewakan kepada awam sebagai perniagaan anda. Anda kunci kesemua sepuluh kereta anda yang terdiri dari BMW, Volkswagen, Proton, dan lain-lain bagi mengelakkan kecurian. Apakah perasaan anda sekiranya kereta-kereta anda dicuri atau digunakan tanpa kebenaran walaupun anda telah mengunci kesemuanya?
Hukum menggunakan perisian tanpa kebenaran ataupun mencuri guna, telah diputuskan oleh para ulamak dalam Persidangan Fiqh Islam ke 6 yang diadakan di negara Kuwait (1 hingga 6 Jamadil-Awwal 1409 Hijrah) bahawa;
"Hak penulisan, hak cipta dan hak kreativiti adalah terpelihara mengikut Syari'at Islam. Hak-hak itu adalah kepunyaan pemilik-pemiliknya dan tidak harus ia dicerobohi".Oleh demikian, berdasarkan fatwa ini; tidak harus seseorang menjual barang/produk cetak rompak kerana ia dikira menjual barang milik orang lain tanpa keizinannya. Begitu juga tidak harus kita membeli barang cetak rompak kerana hukumnya sama seperti kita membeli barang curi iaitu haram. Sila rujuk http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/membeli-barangan-cetak-rompak.html .
"Dan Janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang tidak halal, dan kamu bawa perkara itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain denga cara tidak halal sedangkan kamu mengetahuinya" (Al-Baqarah : 188)
Namun sesetengah ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah harus apabila barangan cetak rompak itu dikeluarkan oleh golongan musyrik (ahli harb) ataupun golongan musuh Islam dan tinggal di negara kafir serta tiada sebarang perjanjian keamanan dengan negara Islam. Hukum ahli harb ini adalah halal darah mereka dan harta mereka selagi mana belum termeterainya perjanjian atau Hudnah diantara dua pihak. Walaubagaimanapun , haruslah berwaspada ketika membeli dan mengguna sebarang perisian cetak rompak kerana ditakuti bersangkutan dengan hak-hak orang Islam atau ahli zimmah ( orang kafir yang tunduk pada islam).
Memandangkan kita tiada mengetahui dengan lebih mendalam segala perisian-perisian seperti Microsoft, Adobe, MatLab dan sebagainya tentang mungkin terdapat hak-hak Islam dan ahli zimmah, suka saya seru kepada sahabat-sahabat sekelian. Marilah kita mengelakkan segala yang syak dan was-was. Ambillah yang benar-benar jelas, halal dan baik yang terdapat di muka bumi ini.
Alternatif? gunakan perisian yang diberi secara percuma dan terbuka. Perisian seperti ini dipanggil freeware dan opensource. Dijamin halal walaupun mungkin terdapat sedikit kesulitan atau kekurangan semasa menggunakannya. Pada zaman era serba canggih dan serba tanpa percuma ini, masih terdapat rezeki yang Allah kurniakan kepada kita secara percuma, bersyukurlah wahai teman. Anda semua boleh mendapatkan sistem operasi yang lengkap dengan perisian-perisian berguna di dalam linux yang freeware seperti Ubuntu, OpenSuSe, Fedora dan lain-lain. Antara perisian aplikasi yang freeware didalam linux ialah :
OpenOffice.org - fungsi yang hampir sama seperti Microsoft Office
Mozilla Firefox - pelayar web (Web Browser)
Amarok - pemain muzik/lagu
MPlayer - pemain video/movie
Thwab - ensiklopedia
Gimp - editor grafik seperti Adobe Photoshop
K3B - pembakar cd/dvd (cd/dvd burner) seperti Nero
Zekr - perisian al-Quran
Semoga perkongsian ini menambahkan lagi ilmu kurniaan Allah s.w.t. kepada kita... Yang baik itu dari Allah dan yang kurang itu dari diri saya sendiri.
Wallahua'lam.
Rujukan :
http://www.geocities.com/CollegePark/Campus/8690/perso/so37.htm
http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/10/masalah-hakcipta.html
http://forum.jiwang.org/index.php?showtopic=4942
Saya amat setuju sekali dengan pandangan saudara. Saya pernah menggunakan perisian cetak rompak hampir beberapa tahun dan ia telah membawa malapetaka kepada 2 buah komputer yang saya beli secara sah hasil dari usaha kerja sendiri. Akhirnya, saya usahakan membeli sebuah komputer baru dan kali ini saya membeli semua perisian yang biasa saya gunakan secara sah. Ajaibnya, komputer itu bertahan dan tidak pernah menghadapi masalah sehingga ke hari ini. Memanglah, jika dinilaikan harga semua perisian yang dibeli melebihi sehingga 4 kali ganda dari harga beli komputer, namun ianya sangat berbaloi sekali bila ia tidak mendatangkan sebarang masalah pun terhadap komputer itu. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana pengalaman ini menyedarkan saya bahawa untuk melakukan kerja-kerja kita, semuanya mesti dilakukan dengan bersih dan amanah.
ReplyDeletewow, penulis artikel ini mesti sedang menggunakan 100% perisian yang original. Dan saya amatlah kagumi kerana penulis artikel ini mempunyai wang yang banyak untuk membeli software yang original.
ReplyDeletebayangkan pelajar seperti saya ingin membeli perisian seperti "mathlab" yang berharga USD900++ . dan saya perlu menggunakan software ini untuk melengkapkan assignment yang diberikan oleh lecturer. Sebagai pelajar, MAMPUKAH saya untuk membelinya?
kadangkala, bercakap lagi mudah dari melaksanakan
Seperti yang saya katakan diatas, saya sekadar merujuk kepada sumber-sumber yang diketahui dan jelas. Terdapat juga pengecualian dalam hal-hal seperti menuntut ilmu adalah dibolehkan. Saya bukan ulama dan bukan juga mufti atau ahli muzakarah fatwa negara jadi saya tidak mampu untuk menjelaskan dengan lebih mendalam. Dalam kes saudara, sepatutnya pihak universiti yang menyediakan kemudahan perisian tersebut.
ReplyDeleteLupa untuk menambah. Juga terdapat MATLAB versi Student yang boleh didapati dengan harga jauh lebih murah. SesungguhNya, Allah lebih mengetahui. Wallahu'alam.
ReplyDeletebagaimana pula orang yang telah membeli software tersebut dan memberikan orang lain untuk mengambil salinan bagi software itu?
ReplyDelete