Monday, December 15, 2008

Keputusan Peperiksaan Sudah 'Online'!

بسم الله الرحمن الرحيم


Minggu ini adalah minggu yang sedikit sebanyak menggoyangkan jiwa sahabat-sahabat yang masih menuntut di ipt (institusi pengajian tinggi). Apa tidaknya, keputusan peperiksaan semester lepas akan dikeluarkan pada bila-bila masa sahaja dan keputusan aku?

Hari ini adalah hari pelepasan keputusan peperiksaan semester Julai 2008 bagi Universiti Kuala Lumpur. Keputusan telah pun dimuatnaik oleh petugas ke dalam sistem e-citie (Electronic Campus Information Exchange) dan boleh disemak melaluinya.



Pagi tadi ketika sedang enak-enak sahaja melayari blog-blog sahabat, dialog Pidgin (aplikasi yang digunakan untuk YM di dalam Linux) segera muncul tiba-tiba dan

Buzz!!

Abu Jihad Rafsanjani : result exam dah kuar
Huzaifah : ok tq skang gak ana cek

Segera aku membuka satu lagi tab di firefox dan memasukkan alamat http://online.unikl.edu.my . Tiba sahaja pada butang Result Exam , aku menjadi kaku dan degup jantung semakin kencang. "Baik aku solat dhuha dulu minta pada Allah dimurahkan rezeki.." desas hati sambil mengerling ke arah jam dinding yang menunjukkan angka 11 dan 6 pada jarum panjang. Lantas aku mengambil wudhu' dan menunaikan solat sunat dhuha dua rakaat pada pagi itu.

Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha, dhuhaMu, cahayanya cahayaMu, keindahannya keindahanMu, kekuatannya kekuatanMu, kekuasaannya kekuasaanMu, perlindungannya perlindunganMu.

Ya Allah jika ada rezekiku di langit maka turunkanlah; dan jika ada rezekiku di bumi maka keluarkanlah; jika sukar maka permudahkanlah, dan jika ianya haram maka bersihkanlah, dan jika ia jauh maka perdekatkanlah, dan jika ia dekat maka permudahkanlah; dengan kebesaran dhuhaMu, keagungan, keindahan, kekuatan, dan kekuasaanMu. Berilah padaku sebagaimana Engkau berikan pada hamba-hambaMu yang soleh.

Semoga Allah cucuri rahmat ke atas penghulu kami Muhammad, keluarga dan sahabat sekalian. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.
Kemudian dengan menyebut basmAllah secara berterusan, aku klik pada butang View Result dan seterusnya pada Julai 2008. Alhamdulillah... Aku menguntum senyum. Lega. Syukurku panjatkan padaMu setinggi langit, seluas lautan, sebesar alam walaupun ku tahu harganya cumalah setitis nikmatMu di bumi ini.

Tangan menjadi gatal spontan kerana ingin tahu jua keputusan sahabat-sahabat yang lain. Ku capai telefon bimbit dan mula menyebar pesanan ringkas,

"Salam, result exam dah kuar"

Tahniah buat sahabat-sahabat yang cemerlang dan cuba lagi bagi yang kurang memuaskan atau tidak mencapai sasaran. Segala-galanya telah ditetapkan oleh Allah dan terdapat hikmah di atas segala sesuatu. Pada sahabat-sahabat yang masih menunggu keputusan, selamat menunggu dan semoga mendapat keputusan yang cemerlang insyaAllah. Teruskan perjuangan di atas landasan dunia menuju ke akhirat dengan MARDHATILLAH insyaAllah...

~ Berilmu dan beramal, biar tak melimpah asalkan istiqamah ~
............

3 comments: