بسم الله الرحمن الرحيم
Kata-kata seorang sahabat yang terlintas dibenak menggerakkan cecair si otak lantas mendorong tulang temulang untuk menulis entri tentang hubung kait nama seorang muslim dan keperibadiannya. Syukran buat beliau yang mengingatkan daku tentang kedhaifan diri ini.
"Kalau setakat nama sahaja baik, perangai buruk buat apa"Ayat membina dari seorang sahabat yang turut berkongsi gelaran 'Huzaifah' yang diberi sejak menghidu nikmat udara dunia ini lagi. Kata-kata itu meransang otak kecil ini sekaligus merembes idealogi yang mungkin menarik untuk dikongsikan bersama.
Suka saya kaitkan dengan dua perkara yang sering dipetik oleh Abu Saif di mana sahaja beliau berada, SUNNATULLAH dan SYARI'ATULLAH (saintifik dan syari'atik). Sunnatullah atau saintifik secara mudahnya ialah usaha ataupun hukum dunia manakala Syari'atullah ialah tawakkal ataupun hukum syari'at. Segala yang kita lakukan di dunia ini mestilah disertai dengan usaha dan tawakkal. Sebagai contoh, seorang pelajar harus berusaha dengan mengulangkaji pelajaran dan menumpukan sepenuh perhatian dalam setiap kuliah. Sesudah itu perlu disertai dan disulami dengan tawakkal iaitu dengan berdoa, solat hajat dan sebagainya. Itulah Sunnatullah dan Syari'atullah.
Apakah pertalian antara dua perkara ini dengan nama dan keperibadian? Pada pandangan saya, nama yang diberi itu ialah Syari'atullah dan asuhan serta didikan itu adalah Sunnatullah. Jika kita lihat pada nama yang diberi, Huzaifah. Nama seorang sahabat Rasulullah s.a.w iaitu Huzaifah al-Yamani, digelar sebagai "Penyimpan Rahsia Nabi" yang ketika perang Khandaq, Nabi s.a.w mengarahkan beliau menjadi perisik untuk mengetahui strategi musuh tentera Islam pada ketika itu iaitu kaum Quraisy. Namun, beliau mengambil tindakan nekad dengan menyamar sebagai salah seorang tentera musuh. Tindakan ini membantu tentera Islam setelah mendapat maklumat musuh daripada Huzaifah. Sudah pasti ibubapa yang mencatatkan nama Huzaifah ini di atas warkah kelahiran anak mereka mahukan anak yang mengikuti keperibadian sahabat ini. Sunnatullahnya ialah dengan memberi didikan sempurna dari semua sudut terutamanya ilmu dan kefahaman agama.
Dari kata-kata sahabat yang membina itu, saya mendongak dan mencongak kembali segala perbuatan dan perhitungan saya selama ini. Tindak tanduk yang bertanduk ataupun berserban. Padankah dengan jolokan 'Huzaifah', "Penyimpan Rahsia Nabi". Amanahkah diri selama ini? Ahh... Sudah terlalu banyak rasanya catitan tentang diriku dalam kitab 'Atid, sang penulis amalan keburukan.
Hadis riwayat"Ya Allah, jauhkanlah aku dari sifat-sifat mazmumah dan tambahkanlah padaku sifat-sifat mahmudah serta ilmu yang berguna. Ampunkanlah dosa-dosaku serta dosa kedua orang tuaku. Tempatkanlah kami di kalangan hamba-hambaMu yang soleh di akhirat kelak"Abu Hurairah ra., ia berkata:
Rasulullah saw. bersabda: Ada tiga tanda orang munafik; apabila berbicara ia berbohong, apabila berjanji ia mengingkari dan apabila dipercaya ia berkhianat
Na'uzubillah dari sifat-sifat munafik. Semoga Allah menerima segala taubat diri ini dan mengampunkan segala dosa-dosa lalu di mana terkadang pernah berdusta, khianat, bongkak, angkuh, riya', umpat, caci, degil dan sebagainya. Kepada semua rakan-rakan, sahabat-sahabat, saya mohon kemaafan andai selama ini ada kesilapan samada sengaja ataupun tidak, terguris hati mahupun terobek hati. Marilah kita sama-sama muhasabah diri kita, sudahkah diri menjadi seperti nama yang diberi? Sudahkah kita perbaiki diri yang selama ini bergelumang dengan leka dan santai? Marilah teman-teman, istiqamahkan diri ke MARDHATILLAH, InsyaAllah.
..........
No comments:
Post a Comment