بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum WBT terlebih dahulu aku ucapkan buat semua pembaca yang dimuliakan. Kali ini aku nak berbicara tentang apakah matlamat kita semua hidup di dunia ini dan lebih khusus kepada peperiksaan memandangkan peperiksaan akhir semester sudah semakin hampir bagi semua pelajar seluruh negara.
Memetik sumber tazkirah saudara Hilal Asyraf di blognya Langit Ilahi yang baru-baru ini juga berkongsi berkenaan peperiksaan. Beliau mengaitkan kepentingan peperiksaan dalam kehidupan dan tanggungjawab kita semua sebagai muslim di bumi Allah ini. Aku sangat suka dengan penulisan Hilal mengenai konteks peperiksaan ini kerana setelah lebih kurang 7 tahun berada di IPT tempatan (3 tahun diploma + 4 tahun sarjana muda) sedikit sebanyak dapat dilihat bagaimana pelajar-pelajar kita khasnya Melayu Islam dalam pelajaran.
Aku yang sekarang di tahun akhir terkadang berasa sedih dan kecewa dengan sikap segelintir pelajar Melayu Islam ketika menuntut ilmu. Bukan segelintir malah lebih lagi. Contoh yang paling hampir ialah bila bercakap mengenai pointer atau markah, ramai yang akan meluahkan rasa ketidakpentingan seperti bila ditanya
"Kenapa tidak belajar bersungguh-sungguh untuk skor dalam peperiksaan?"
Majoriti yang bersikap acuh tak acuh dalam pelajaran akan menjawab
"Buat apa nak skor? buat apa nak dapat pointer tinggi-tinggi? cukuplah sekadar lulus dan dapat ijazah. Skor tinggi-tinggi ni duniawi semuanya."
Begitu rata-rata jawapan yang diterima.
Bukan sekadar ketika menduduki peperiksaan, begitu juga ketika membuat kerja-kerja yang diamanahkan oleh pensyarah. Semuanya bagai melepaskan batuk di tangga sahaja. Di manakah sikap bersungguh-sungguh kita? Sampai bila Melayu Islam akan begini? Sampai bila kita hanya mahu berada di takuk yang sama?
Menuntut ilmu adalah wajib. Ianya adalah amanah Allah. Maka dengan itu, kita patut bersungguh-sungguh dan menunjukkan yang terbaik dalam setiap perkara agar kita akan lebih maju di dunia dan di akhirat. Kesedaran amat penting dalam perkara ini. Kebanyakkan kita tiada kesedaran dalam banyak perkara di dunia ini. Di situlah datangnya matlamat hidup. Apakah matlamat hidup kita? Sekadar cukup-cukup makan sahaja?
Marilah kita sama-sama mengubah hala tuju kita demi mencapai yang terbaik di dalam setiap perkara yang kita lakukan. Kita tidak akan berubah sekiranya kita sendiri tidak mengubah diri kita ke arah yang lebih baik.
Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”.
Kepada yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi, aku ucapkan selamat berusaha dan selamat menjawab. Semoga Allah memberkati usaha kalian.
mohon share...
ReplyDeletesilakan...
ReplyDelete