Saturday, October 16, 2010

Sampah Itu Tak Meletup Pun. Janganlah dibuang merata-rata!

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum WBT buat pembaca yang aku muliakan. Aku nak kongsikan satu pengalaman yang seringkali juga mendatangi aku sebelum aku bergegas ke walimatul urus seorang sahabat bernama Dzun Nurain dan juga suaminya Mohd. Asyraf, tahniah buat kalian semoga cinta dan kasih yang dibina kerana Allah itu diberkati dan dirahmati sentiasa.



Malam tadi, sewaktu aku dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Kubu Bharu aku singgah sebentar di Petronas RnR Ayer Keroh untuk membeli makanan dan minuman. Ketika aku betul-betul baru sahaja hendak menghidupkan enjin kereta untuk menyambung perjalanan, seorang lelaki melayu melintasi bahagian hadapan kereta aku. Barangkali baru sahaja selesai ke tandas. Sambil berjalan dia mengeluarkan sekotak rokok dari kocek seluar lalu mengambil sebatang rokok pula dari kotak itu. Selepas itu dia mencampakkan kotak rokok tersebut dengan sewenang-wenangnya. Tanpa rasa bersalah, dia terus berlalu pergi.

Aku yang menjadi saksi serta-merta membuka tingkap kereta dan menyapa lelaki tersebut. "Bang, abang terjatuhkan kotak rokok kat situ", aku buat-buat bertanya dengan harapan dia memahami maksud tersirat disebalik soalanku itu. Dia menoleh dan menjawab "Oh, kosong. Kotak kosong." Tahu pula kotak kosong. Kenapa tidak dibuang ke dalam tong sampah kalau dah tahu kosong. Aku pun berkata "Kalau kosong, abang buang la dalam tong sampah. Terima kasih." Dia bagi satu pertanyaan yang aku rasa kanak-kanak pun takkan tanya. "Apsal?". Ada ke boleh tanya apsal? Dah memang tempat sampah tu di tong sampah. Sekeliling Petronas kan banyak tong sampah. Takkan tak boleh tunggu sebentar untuk buang sampah itu ke tempat yang sepatutnya. Sampah itu bukan bom tangan yang akan meletup dalam masa 3 saat jika tak dibuang segera. Tak salah pun buang di tong sampah. Tak susah juga. Aku terus jawab soalan dia dengan jawapan yang poyo aku rasakan, "Sayangilah Malaysia kita!" Sambil aku tunjukkan ibu jari tanda 'bagus' kepadanya. Dia lantas mengutip semula kotak tersebut dan berlalu pergi dengan wajah yang tak berapa nak puas hati. Mungkin sebab ditegur oleh orang muda agaknya.

Bilalah agaknya baru mentaliti majoriti rakyat Malaysia akan berhijrah ke arah kesedaran yang lebih baik. Ketika aku ke Vancouver tak lama dulu, ada seorang wanita yang membawa anjingnya bersiar-siar sambil memegang sehelai plastik di tangan. Aku lihat lagak anjingnya yang mencari-cari tempat untuk melepaskan hajat. Sebaik sahaja anjingnya berbuat demikian, serta-merta dia mengutip najis anjing tersebut dengan plastik yang dipegangnya lantas membuang plastik itu ke dalam tong sampah. ON THE SPOT! Aku sangat kagum dengan kesedaran sivik rakyat Kanada. Vancouver memang satu tempat yang menarik lagi bersih.

Ayuhlah rakyat Malaysia yang majoritinya berbangsa Melayu lagikan beragama Islam. Bukankan Islam mengajar kita untuk menjaga kebersihan?

Berikut diantara hadis-hadis yang menekankan tentang penjagaan kebersihan oleh Rasulullah S.A.W. :

Hadits 1

image


Ertinya : “Diriwayatkan dari Sa’ad bin Abi Waqas dari bapanya, dari Rasulullah saw. : Sesungguhnya Allah SWT itu suci yang menyukai hal-hal yang suci, Dia Maha Bersih yang menyukai kebersihan, Dia Mahamulia yang menyukai kemuliaan, Dia Maha Indah yang menyukai keindahan, karena itu bersihkanlah tempat-tempatmu” (HR. Tirmizi)”

Hadits 2

image


Ertinya : “Diriwayatkan dari Malik Al Asy’ari dia berkata, Rasulullah saw. bersabda : Kebersihan adalah sebagian dari iman dan bacaan hamdalah dapat memenuhi mizan (timbangan), dan bacaan subhanallahi walhamdulillah memenuhi kolong langit dan bumi, dan shalat adalah cahaya dan shadaqah adalah pelita, dan sabar adalah sinar, dan Al Quran adalah pedoman bagimu.” (HR. Muslim)”

Hadits 3

image


Ertinya : “Diriwayatkan Abu Hurairah r.a. dia berkata : Rasulullah saw bersabda : Jika aku tidak menjadikan berat umatku, maka sungguh aku perintahkan bersiwak (menggosok gigi) setiap hendak solat”. (HR Bukhari)




Mari kita berhijrah! Hijrahlah!

No comments:

Post a Comment