Monday, March 09, 2009

PPSMI - Di Mana Pendirian Bangsa Melayu Kita?

بسم الله الرحمن الرحيم




Assalamualaikum W.B.T buat pembaca yang dihormati lagi disegani. Kali ini ingin saya luahkan rasa hati mengenai isu PPSMI yang semakin serius di tanah air kita. Semalam, muka hadapan akhbar tempatan memaparkan isu perarakan untuk menghantar memorandum ke Istana Negara dan aktivis-aktivis tersebut ditemani juga oleh Dato' A. Samad Said, dan rakan-rakan FRU bagi meredakan ketegangan terbabit. Bukan itu yang ingin saya panjangkan tetapi sekadar luahan pendapat tentang-tentang PPSMI, adakah perlu diteruskan atau dimansuhkan sahaja.

Pada pendapat saya, PPSMI iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris mempunyai pro dan kontranya dari pelbagai sudut serta pandangan. Pada awal perlaksanaan PPSMI, ianya tampak seperti gah dan penuh dengan pro berbanding kontranya. Tetapi ura-ura untuk memansuhkan PPSMI timbul pula tidak lama kemudian dan sekarang baru begitu jelas penentangan bagi memansuhkan PPSMI. Apa yang saya lihat sekarang adalah masa depan penggunaan bahasa tersebut. Memang benar lebih mudah bagi kanak-kanak yang sedang membesar untuk memahami dan menangkap sesuatu untuk terus ke dalam minda mereka. Tapi kita juga perlu memikirkan masa depan penggunaan bahasa ibunda kita.

Tahukah anda semua apa itu janjang? apa itu penunu? bagaimana pula dengan pengamiran? Mungkin sekali anak-anak yang diajar di sekolah dengan PPSMI langsung tidak mengenali istilah-istilah tersebut. Cuba kita tinjau sebentar negara-negara maju yang bertamadun. Apakah mereka menggunakan bahasa ibunda ataupun Bahasa Inggeris untuk terus maju ke hadapan. Jepun, Jerman, Russia, Amerika, Perancis hatta China sekalipun menggunakan bahasa ibunda mereka dan mereka begitu patriotik dan berdiri megah untuk negara mereka. Mereka bertapak di atas satu pendirian yang teguh untuk memajukan diri sendiri dan tidak berpaksikan kejayaan bangsa lain semata-mata. Mari kita tinjau pula kejayaan tamadun Islam pada zaman silam. Apakah Al-Khawarizmi dan Ibnu Sina menggunakan Bahasa Inggeris dalam kajian mereka? Oh, saya lupa bahawa Algebra itu pada asalnya ialah Al-Jabar. Orang Inggeris pula yang mengambil istilah arab dan menjadikannya istilah ibunda mereka sendiri.

PPSMI memang mampu menaiktaraf Bahasa Inggeris generasi baru kita tetapi dalam pada yang sama ianya membunuh bahasa ibunda kita. Tinjau saja di bandar-bandar dan ibukota kita zaman ini. Ibubapa sudah menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dan bilakah mereka berinteraksi menggunakan Bahasa Melayu? Semasa subjek Bahasa Melayu yang selama 4 jam seminggu itukah?

Bagi saya, penekanan perlu diberi kepada Bahasa Melayu disamping menyelitkan istilah Bahasa Inggeris bagi mengelakkan tenggelamnya bahasa kita.

Wallahu'alam...

.........

3 comments:

  1. tu la namanya penjajah..takbir!!!...ALLAHUAKBAR!!!..sama sama sama la kita berdoa agar pemansuhan PPSMI ni berjaya..amin :)..

    ReplyDelete
  2. Dan gara-gara perhimpunan raksasa ini lah aku tersangkut di ibukota ketika mahu pulang ke Subang Jaya setelah pergi membeli-belah di Bukit Bintang bersama seorang rakan. Ketika penyokong PPSMI berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara, aku terkandas di Jalan Syed Putra dari Jalan Maharajalela. Di kawasan itu baru sahaja dilepaskan gas pemedih mata bagi meleraikan perarakan yang menyebabkan kesesakan kronik di ibukota itu. Walaupun kesan asapnya telahpun hilang, aku juga terasa pedihnya, bukan sahaja di mata malah di hidung juga. Maka aku yang sedang menunggang motosikal ketika itu terpaksa pusing balik ikut jalan jauh melalui Jalan Sungai Besi untuk pulang ke rumah sewa. Kelihatan juga polis sudahpun membuat sekatan jalan raya di beberapa kawasan terutama jalan yang menuju ke Istana Negara.

    Ini merupakan pengalaman pertama aku merasai pedihnya gas pemedih mata. Sumpah aku serik.

    p/s: aku berasa pelik, kenapa setelah hampir 6 tahun baru lah isu ini hendak diperbangkitkan. Wallahu'alam...

    ReplyDelete
  3. Sesetengah perlaksanaan itu kesan sebenarnya hanya diketahui setelah beberapa lama masa perlaksanaan berlalu. Mungkin juga ianya kerana kesan kontra dari perlaksaan PPSMI barulah mereka menentang secara besar-besaran. Tapi pada pendapat aku, lebih kuat politik di sini berbanding dengan isu bahasa itu sendiri. :) Hanya segelintir pejuang bahasa yang benar-benar memperjuangkan bahasa itu sendiri kerana setelah hampir 6 tahun perlaksanaan PPSMI, berpatah balik adalah lebih susah berbanding dengan tidak melaksanakannya langsung. Sepatutnya mereka mengkaji terlebih dahulu kesan kontra dan menentang sebelum nasi menjadi bubur. TQ bagi pandapat yang berisi. Wallahu'alam...

    ReplyDelete