Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Friday, May 22, 2009

Virus Dalam Kehidupan - H1N1 , Virus.Win32.Virut , Virus Dalam Islam

بسم الله الرحمن الرحيم


Baru-baru ini sering kedengaran di corong-corong radio dan muka-muka televisyen, kecoh tentang virus H1N1. Virus ini dibawa oleh makhluk yang paling popular medium bagi penyebaran iaitu nyamuk. Virus H1N1 ini mengakibatkan selsema yang boleh membawa maut dan diberi nama Selsema Babi (Swine Flu) . Ia dikenalpasti bermula dari negara Mexico dan kemudiannya menular ke Amerika Utara dan seterusnya ke beberapa buah negara lagi. Alhamdulillah, setakat ini negara kita masih bebas dari wabak ini dan semoga terus bebas darinya. Sama-samalah kita berdoa agar dijauhi dari malapetaka ini insyaAllah.

Bukan sekadar virus yang berbahaya kepada kesihatan, malah virus-virus komputer juga semakin aktif dan canggih saban hari selajur dengan kayuhan peredaran teknologi. Terbaru, 2 buah komputer di rumah saya telah dijangkiti virus yang dikenali sebagai Virus.Win32.Virut.ce . Pada pandangan saya, virus ini sangat berbahaya kepada pengguna komputer yang kurang pakar kerana ia menjangkiti semua fail execution (exe) yang terdapat dalam komputer tersebut tanpa mengira partition cakera keras tersebut baik C: mahupun D: juga Z: . Dalam masa yang sama, ia memuat-turun lebih banyak virus sebagai langkah merosakkan lagi komputer yang telah dijangkiti. Format partition C: sahaja tidak mencukupi kerana sebaik sahaja Windows di-install semula, pasti virus ini muncul kembali ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Lebih ganas lagi virus ini akan membuka (pop-pup) laman web yang beralamat http://www.guarddog2009.com/xxx , sebuah laman web berunsur lucah dan pasti menggugat pandangan mata dan menjemput bilah-bilah dosa untuk bertandang. Sekiranya anda mempunyai masalah mengenai virus ini, segala pertanyaan dan pandangan amatlah saya alu-alukan.

Tidak cukup hanya virus wabak dan juga komputer, malah ukhuwah Ad-Din yang teguh juga telah dijangkiti virus yang ditular melalui bisikan-bisikan iblis yang sentiasa ingin melihat umat Islam dalam perpecahan. Baru-baru ini saya selalu sahaja menerima kiriman emel mengenai fahaman Qadiani ataupun Ahmadiyah, yang difahamkan ialah ajaran sesat (Notis dari Majlis Agama Islam Selangor). Kebanyakkan kandungan emel tersebut menuduh bahawa MAIS telah menfitnah dan menuduh ajaran Ahmadiyah ini telah terkeluar dari Islam. Pengirim emel berkenaan juga melampirkan gambar-gambar dan kenyataan bahawa MAIS telah melarang mereka mengerjakan solat Jumaat di premis ajaran mereka. Tetapi untuk apa mereka mahu menunaikan solat Jumaat di premis sendiri sekiranya masjid-masjid yang utuh dibina merata-rata. Adakah kerana Qadiani ini tidak boleh mencampuri umat Islam yang lain? Saya kira ini sudah pasti salah satu dari hasutan iblis dalam cubaan memecahbelahkan umat Islam hari ini. Antara kepercayaan Ahmadiyah adalah Nabi Isa telah pun wafat dan Nabi Isa yang akan turun di kala kiamat menjelang nanti adalah Nabi Isa yang lain. Tidak sempat untuk saya mengkaji dengan lebih mendalam mengenai ajaran ini kerana banyak sumber yang bercanggah dan takut menjadi fitnah.Kepada sesiapa yang ingin berkongsi pendapat ataupun ingin mendapatkan maklumat mengenai ajaran ini boleh menghubungi saya.

Akhir kalam, yang baik itu sudah pasti dari Allah dan yang kurang itu dari kelemahan saya selaku hambaNya.

Wallahu'alam.

Sunday, April 12, 2009

Gambar Blogspot/Blogger Dengan "Picasa Web Albums"

بسم الله الرحمن الرحيم


Kadangkala kita melalui saat-saat yang memeningkan dan menegangkan urat-urat otak kita apabila kita terbuang gambar-gambar yang telah dimuatnaik ketika menulis dengan blogger. Bayangkan lebih 10 gambar yang telah dimuatnaik hilang begitu sahaja dan perlukah kita muatnaik semula gambar-gambar terbabit. Dan jika kita memuatnaik gambar-gambar tersebut, kemanakah ia pergi?



Pernahkah anda menghadapi keadaan di atas? Untuk pengetahuan semua, Blogger atau Blogspot mempunyai servis penyimpanan gambar-gambar yang dimuatnaik ke dalam servis yang dikenali sebagai Picasa Web Albums . Servis ini diberi oleh Google secara percuma 1GB kepada setiap pengguna akaun Blogger.

Setelah memuatnaik gambar-gambar anda, semua gambar tersebut boleh dicapai melalui http://picasaweb.google.com . Jangan lupa untuk login bagi mendapat akses ke album-album gambar tersebut.

Sekian, Wallahua'alam.

Sunday, December 14, 2008

Crack dan Perisian (Software). Halalkah?

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum, dan saya dahului dengan alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi disaat ini masih termampu roh dan jasad ini duduk menghadap skrin hasil ciptaan manusia dengan ilmu kurniaan Allah s.w.t. Lama sudah saya renungkan dan baru tika ini molekul-molekul, campuran, unsur dan sebatian dalam tubuh ini pantas berlari meringankan diri masing-masing menjana kekuatan bagi menulis dan melontar pandangan tentang isu yang sudah lama kiranya. Namun, persoalan ini masih lagi perlu saya bangkitkan kerana dari pengamatan sekian lama ramai sahabat-sahabat dan individu yang tidak perasan atau kurang faham dalam sudut perisian dan cetak rompak.



Apa itu crack? Crack ialah satu medium yang membolehkan kita mengguna sesuatu perisian tanpa perlu mendapatkan (membeli) yang original atau sah. Ringkas kata, crack digunakan untuk memecahkan kunci sesuatu perisian agar ianya boleh digunakan tanpa perlu membeli perisian tersebut kerana setiap perisian itu telah dikunci dengan algorithm tertentu bagi mengelakkan kejadian piracy dan 'guna tanpa kebenaran'.



Pada masa kini, penggunaan perisian cetak rompak atau cracked software (perisian yang di crack) sangat berleluasa tidak kira dikalangan muslim mahupun non-muslim. Pernahkah kita terfikir bahawa perisian ini juga adalah produk ataupun harta yang dijual sebagai punca pendapatan dan sumber rezeki? Bayangkan anda mempunyai sepuluh buah kereta yang disewakan kepada awam sebagai perniagaan anda. Anda kunci kesemua sepuluh kereta anda yang terdiri dari BMW, Volkswagen, Proton, dan lain-lain bagi mengelakkan kecurian. Apakah perasaan anda sekiranya kereta-kereta anda dicuri atau digunakan tanpa kebenaran walaupun anda telah mengunci kesemuanya?

Hukum menggunakan perisian tanpa kebenaran ataupun mencuri guna, telah diputuskan oleh para ulamak dalam Persidangan Fiqh Islam ke 6 yang diadakan di negara Kuwait (1 hingga 6 Jamadil-Awwal 1409 Hijrah) bahawa;
"Hak penulisan, hak cipta dan hak kreativiti adalah terpelihara mengikut Syari'at Islam. Hak-hak itu adalah kepunyaan pemilik-pemiliknya dan tidak harus ia dicerobohi".
Oleh demikian, berdasarkan fatwa ini; tidak harus seseorang menjual barang/produk cetak rompak kerana ia dikira menjual barang milik orang lain tanpa keizinannya. Begitu juga tidak harus kita membeli barang cetak rompak kerana hukumnya sama seperti kita membeli barang curi iaitu haram. Sila rujuk http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/membeli-barangan-cetak-rompak.html .

"Dan Janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang tidak halal, dan kamu bawa perkara itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain denga cara tidak halal sedangkan kamu mengetahuinya" (Al-Baqarah : 188)


Namun sesetengah ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah harus apabila barangan cetak rompak itu dikeluarkan oleh golongan musyrik (ahli harb) ataupun golongan musuh Islam dan tinggal di negara kafir serta tiada sebarang perjanjian keamanan dengan negara Islam. Hukum ahli harb ini adalah halal darah mereka dan harta mereka selagi mana belum termeterainya perjanjian atau Hudnah diantara dua pihak. Walaubagaimanapun , haruslah berwaspada ketika membeli dan mengguna sebarang perisian cetak rompak kerana ditakuti bersangkutan dengan hak-hak orang Islam atau ahli zimmah ( orang kafir yang tunduk pada islam).

Memandangkan kita tiada mengetahui dengan lebih mendalam segala perisian-perisian seperti Microsoft, Adobe, MatLab dan sebagainya tentang mungkin terdapat hak-hak Islam dan ahli zimmah, suka saya seru kepada sahabat-sahabat sekelian. Marilah kita mengelakkan segala yang syak dan was-was. Ambillah yang benar-benar jelas, halal dan baik yang terdapat di muka bumi ini.



Alternatif? gunakan perisian yang diberi secara percuma dan terbuka. Perisian seperti ini dipanggil freeware dan opensource. Dijamin halal walaupun mungkin terdapat sedikit kesulitan atau kekurangan semasa menggunakannya. Pada zaman era serba canggih dan serba tanpa percuma ini, masih terdapat rezeki yang Allah kurniakan kepada kita secara percuma, bersyukurlah wahai teman. Anda semua boleh mendapatkan sistem operasi yang lengkap dengan perisian-perisian berguna di dalam linux yang freeware seperti Ubuntu, OpenSuSe, Fedora dan lain-lain. Antara perisian aplikasi yang freeware didalam linux ialah :

OpenOffice.org - fungsi yang hampir sama seperti Microsoft Office
Mozilla Firefox - pelayar web (Web Browser)
Amarok - pemain muzik/lagu
MPlayer - pemain video/movie
Thwab - ensiklopedia
Gimp - editor grafik seperti Adobe Photoshop
K3B - pembakar cd/dvd (cd/dvd burner) seperti Nero
Zekr - perisian al-Quran

Semoga perkongsian ini menambahkan lagi ilmu kurniaan Allah s.w.t. kepada kita... Yang baik itu dari Allah dan yang kurang itu dari diri saya sendiri.

Wallahua'lam.

Rujukan :

http://www.geocities.com/CollegePark/Campus/8690/perso/so37.htm

http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/10/masalah-hakcipta.html

http://forum.jiwang.org/index.php?showtopic=4942


Saturday, December 13, 2008

Nama dan Keperibadian

بسم الله الرحمن الرحيم


Kata-kata seorang sahabat yang terlintas dibenak menggerakkan cecair si otak lantas mendorong tulang temulang untuk menulis entri tentang hubung kait nama seorang muslim dan keperibadiannya. Syukran buat beliau yang mengingatkan daku tentang kedhaifan diri ini.
"Kalau setakat nama sahaja baik, perangai buruk buat apa"
Ayat membina dari seorang sahabat yang turut berkongsi gelaran 'Huzaifah' yang diberi sejak menghidu nikmat udara dunia ini lagi. Kata-kata itu meransang otak kecil ini sekaligus merembes idealogi yang mungkin menarik untuk dikongsikan bersama.

Suka saya kaitkan dengan dua perkara yang sering dipetik oleh Abu Saif di mana sahaja beliau berada, SUNNATULLAH dan SYARI'ATULLAH (saintifik dan syari'atik). Sunnatullah atau saintifik secara mudahnya ialah usaha ataupun hukum dunia manakala Syari'atullah ialah tawakkal ataupun hukum syari'at. Segala yang kita lakukan di dunia ini mestilah disertai dengan usaha dan tawakkal. Sebagai contoh, seorang pelajar harus berusaha dengan mengulangkaji pelajaran dan menumpukan sepenuh perhatian dalam setiap kuliah. Sesudah itu perlu disertai dan disulami dengan tawakkal iaitu dengan berdoa, solat hajat dan sebagainya. Itulah Sunnatullah dan Syari'atullah.




Apakah pertalian antara dua perkara ini dengan nama dan keperibadian? Pada pandangan saya, nama yang diberi itu ialah Syari'atullah dan asuhan serta didikan itu adalah Sunnatullah. Jika kita lihat pada nama yang diberi, Huzaifah. Nama seorang sahabat Rasulullah s.a.w iaitu Huzaifah al-Yamani, digelar sebagai "Penyimpan Rahsia Nabi" yang ketika perang Khandaq, Nabi s.a.w mengarahkan beliau menjadi perisik untuk mengetahui strategi musuh tentera Islam pada ketika itu iaitu kaum Quraisy. Namun, beliau mengambil tindakan nekad dengan menyamar sebagai salah seorang tentera musuh. Tindakan ini membantu tentera Islam setelah mendapat maklumat musuh daripada Huzaifah. Sudah pasti ibubapa yang mencatatkan nama Huzaifah ini di atas warkah kelahiran anak mereka mahukan anak yang mengikuti keperibadian sahabat ini. Sunnatullahnya ialah dengan memberi didikan sempurna dari semua sudut terutamanya ilmu dan kefahaman agama.

Dari kata-kata sahabat yang membina itu, saya mendongak dan mencongak kembali segala perbuatan dan perhitungan saya selama ini. Tindak tanduk yang bertanduk ataupun berserban. Padankah dengan jolokan 'Huzaifah', "Penyimpan Rahsia Nabi". Amanahkah diri selama ini? Ahh... Sudah terlalu banyak rasanya catitan tentang diriku dalam kitab 'Atid, sang penulis amalan keburukan.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:
Rasulullah saw. bersabda: Ada tiga tanda orang munafik; apabila berbicara ia berbohong, apabila berjanji ia mengingkari dan apabila dipercaya ia berkhianat
"Ya Allah, jauhkanlah aku dari sifat-sifat mazmumah dan tambahkanlah padaku sifat-sifat mahmudah serta ilmu yang berguna. Ampunkanlah dosa-dosaku serta dosa kedua orang tuaku. Tempatkanlah kami di kalangan hamba-hambaMu yang soleh di akhirat kelak"

Na'uzubillah dari sifat-sifat munafik. Semoga Allah menerima segala taubat diri ini dan mengampunkan segala dosa-dosa lalu di mana terkadang pernah berdusta, khianat, bongkak, angkuh, riya', umpat, caci, degil dan sebagainya. Kepada semua rakan-rakan, sahabat-sahabat, saya mohon kemaafan andai selama ini ada kesilapan samada sengaja ataupun tidak, terguris hati mahupun terobek hati. Marilah kita sama-sama muhasabah diri kita, sudahkah diri menjadi seperti nama yang diberi? Sudahkah kita perbaiki diri yang selama ini bergelumang dengan leka dan santai? Marilah teman-teman, istiqamahkan diri ke MARDHATILLAH, InsyaAllah.

..........

Friday, December 12, 2008

Kerjaya Jururawat Lelaki Kerjaya Mulia

بسم الله الرحمن الرحيم

KOTA BAHARU, 28 Jun (Bernama) -- Kerjaya sebagai jururawat lelaki kini semakin menarik minat golongan itu yang tidak lagi malu berkecimpung dalam bidang yang lebih sinonim dengan kaum wanita.

Pemangku Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Zaidun Kamari berkata pihaknya menerima respon memberangsangkan daripada pemohon lelaki setiap kali pengambilan baru jururawat dibuka.

"Setiap kali pengambilan baru dibuka, kita terima banyak permohonan dari kaum lelaki untuk berkhidmat sebagai jururawat."

"Pada sesi pengambilan jururawat yang lepas, kita mengambil lima jururawat lelaki dan untuk tahun ini pula, kita menawarkan 10 tempat kepada jururawat lelaki," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara HUSM dengan Kolej Kejururawatan Murni dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).

Kolej Kejururawatan Murni diwakili Ketua Eksekutifnya, Ridwan Shoib manakala KPTM diwakili Dr Ahmad Roslan Johari.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak.

Mengikut perjanjian itu, HUSM bersetuju untuk menjadi tempat latihan praktikal pelajar diploma kejururawatan kedua-dua kolej berkenaan dalam tempoh masa lima tahun.

Pelajar kedua-dua kolej itu juga akan dibenarkan menggunakan peralatan dan kemudahan yang terdapat di HUSM semasa menjalani latihan praktikal mereka di situ. Tempoh latihan klinikal ialah selama 10 minggu bagi setiap pelajar.

HUSM sebelum ini pernah menjalin kerjasama dengan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), UiTM, kolej Teknologi Islam Melaka (KTIM), Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) dan Kolej Perubatan Perak (PMC).

-- BERNAMA