بسم الله الرحمن الرحيم
Beberapa hari yang lalu, saya sekeluarga makan di Kembangan Paradise sebuah restoran tunggal yang paling hampir dengan Kondo Rimbun, Bandar Putra Permai. Malam itu, ayah saya berborak dengan tuan punya restoran yang juga sahabat lamanya. Antara cerita yang begitu menarik perhatian saya ialah mengenai restoran mamak muslim yang sebenarnya tidaklah 100% muslim kerana ramai pekerja mereka terdiri dari mamak atau india yang beragama Hindu.
Yang paling mengejutkan ialah tepung roti canai yang diuli dengan kaki. Ini bukanlah satu khabar baru kerana sebelum ini sudah juga kedengaran di corong-corong angin namun saya tidak mengambil sepenuhnya kerana kesahihan yang tidak dibuktikan. Kemudian saya mengambil keputusan untuk menyiasat sejauh mana kebenaran cerita tersebut. Menurut Haji kawan ayah saya tersebut, restoran berkenaan telah ditutup dan bertempat di Seri Kembangan.
Lagi baru, saya menjengah ke blog ujie.com dan terdapat cerita mengenai restoran Ali Maju di Rawang. Di situ, seorang rakan penulis ujie.com telah melihat sendiri tepung roti canai diuli dengan kaki. Bukan itu sahaja, untuk pengetahuan umum, restoran Ali Maju tersebut bukanlah restoran muslim bahkan ianya restoran Kristian. Bukan ingin menyatakan salah kerana ianya restoran bukan Islam tetapi salah kerana bertopengkan restoran mamak muslim.
Lantaran cerita panas ini, saya telah mengangkat ikrar kepada diri saya sendiri untuk tidak makan roti canai di mana-mana restoran mamak dan mungkin sekali memboikot restoran mamak. Maaf wahai pengusaha-pengusaha restoran mamak sekelian.
Maka, saya berpesan kepada semua pembaca yang melintas mahupun terlintas di laman saya ini untuk lebih berhati-hati dalam memilih makanan. Islam turut berpesan agar carilah kita, makanan yang halal lagi suci kerana dari makanan yang kita hadam itu menjadi darah daging dan masuk ke hati.
Ini sejajar seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 168, bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak syaitan"
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebut bahawa dalam satu jasad ada seketul darah apabila ia rosak, akan rosaklah jasad itu tetapi apabila ia baik, maka baiklah jasad itu. Seketul darah dimaksudkan itu adalah hati. Maka, peliharalah hati kita dengan memilih makanan baik lagi halal supaya kita diberkati Allah SWT dan diterima segala amalan.
Wallahu'alam...
Rujukan:
http://ujie.com/blog/2009/02/03/goli-den/
No comments:
Post a Comment