Monday, November 10, 2008

Pakcik Buta yang Celik

بسم الله الرحمن الرحيم


Suatu hari ketika dalam perjalanan ke 'Bandar Raya Islam' Kota Bharu, aku terasa bas berhenti dengan tiba-tiba. Bila ku celikkan mata rupa-rupanya kami sudah tiba di Merapoh, kawasan rehat rutin bagi pemandu-pemandu bas untuk berhenti dan penumpang-penumpang berpeluang untuk ke bilik air mahupun mengisi perut buat sebentar dalam setengah jam lebih kurang. Aku tidak ketinggalan untuk mengambil peluang itu ke tandas, takut-takut nanti ketika dalam perjalanan seterusnya mungkin boleh berisiko untuk terpaksa menahan dengan segala kekuatan. Aku masuk ke tandas yang ibarat seperti 'hab' tandas yang penuh dengan pintu-pintu tandas kecil dan menjurus ke dalam. Paling kurang terdapat 12 tandas di dalam tandas tersebut dan bayaran sebanyak RM0.30 dikenakan untuk sekali masuk. Selesai hajat, aku singgah ke kedai untuk membeli pau dan aku beli 2 biji pau ayam yang rasanya macam dah lama tapi disebabkan itu rezeki aku, alhamdulillah aku telankan sahaja. Kembali ke dalam bas, aku lihat pakcik di tempat duduk belakang masih belum mengisi ruang. Aku duduk di kerusi sambil membuka kitab panduan solat-solat dan ibadah. Aku selak ke ruangan zikir dan meneliti bacaan-bacaan zikir yang terkandung didalamnya. Tidak lama kemudian, suara seseorang memecah kebisingan deruman enjin bas. Pakcik yang duduk di belakangku adalah seorang buta rupanya. Kasihan bisik hatiku. Setelah semua penumpang kembali ke dalam bas, pakcik tadi bersuara. "Drebar, nati saya nak turun di Ketereh. Di kepok lekor nu..". "Ketereh kepok lekor hok mano eh?", pemandu bertanya menjawab pertanyaan pakcik buta tersebut. Seorang lagi pemandu mencelah, "Hok dekat nge umoh Zahar tu... Zahar Mahligai". "Oohh... berreehh.. berrehh..." jawab pemandu pertama. "Nati kene royat lagi nge dio tuh. Dio tak ingat tuh nati", pemandu kedua berkata kepada pakcik buta. Bas terus bergerak meneruskan perjalanan dan aku pun melelapkan mata. Pemanduan bas yang agak seperti lagak cerita "Impak Maksima" menerjah tidurku dan aku melihat ke luar. Ya Allah, lajunya bas ni... aku sedikit kecut melihat pohon-pohon dan objek di luar bas yang kurang jelas kerana bas agak laju dan lebih laju dari kereta yang aku pandu ketika ke pantai timur. Tambahan lagi, kawasan Merapoh - Gua Musang - Kuala Krai itu adalah jalan yang agak berliku dan berbelok-belok, membuat hati bertambah bimbang. Aku memejam mata dan hanya mampu berdoa agar kami semua selamat dari segala bencana. Tiba di Kok Lanas, pakcik buta tadi bertanya kepada pemandu, "Sapa mano doh ni drebar?". "Kok Lanas, nok turun di Ketereh ke?" "Horr... di kepok lekor nu... hok umah Zahar tuu...". Bas terus meluncur laju dan pakcik buta tadi tiba-tiba bersuara "Sinii, sapa doh ni..." pemandu bas tidak memberi respon. Mungkin kerana suara pakcik itu agak perlahan maklumlah duduk di kerusi yang belakang sekali. "Lepah doh nih... jauh doh lepah ni drebar heiii..." pakcik tadi bersuara lagi tetapi agak kuat. Terdetik dalam hatiku bagaimana pakcik ini boleh tahu sedangkan matanya tidak boleh melihat. Maha Suci Allah, walaupun pakcik itu buta mata namun dia masih dapat melihat dan merasai dengan hatinya. Pemandu bas yang dapat melihat pun boleh terlepas pandang tetapi pakcik tersebut dapat merasakan dengan jelas tempat yang dimaksudkannya itu. Pemandu memberhentikan bas sejurus kemudian dan pakcik buta itu terpaksa turun berjalan kaki sejauh lebih kurang 300-500m dari jarak yang dilepasi tadi. Di pagi yang masih gelap pekat itu, aku simpati dengan nasib pakcik tersebut. Semoga pengalaman aku ini dapat dikongsi bersama rakan-rakan agar lebih bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t dan menggunakannya dengan baik supaya tidak dipersoalkan di akhirat kelak. InsyaAllah...

No comments:

Post a Comment