Tuesday, February 17, 2009

Kuliah Maghrib Malam Ini - 8 Doa Khusus Ketika Solat

بسم الله الرحمن الرحيم




Setelah agak lama tidak solat maghrib berjemaah di Masjid Amru bin Al-'As di Bandar Baru Sentul, baru kali ini dapat kulaksanakan bersama Hamzah di sana. Jadual semester ini agak membebankan kerana kebanyakkan kuliah berada di awal dan hujung hari, pagi dan malam sedangkan diantaranya tidak terdapat kuliah. Waktu kekosongan itu tidak aku ambil untuk pulang berehat tetapi lebih banyak meluangkan masa di perpustakaan walaupun internet agak lembab. Selalu pulang lewat telah menyebabkan aku kurang ke Masjid Amru bin Al-'As pada semester ini dan hanya berjemaah di surau kampus sahaja.

Kuliah malam ini dimulakan dengan penerangan mengenai doa dan solat. Dalam solat kita telah meminta 8 permintaan kepada Allah s.w.t. Permintaan yang khusus iaitu ketika duduk diantara dua sujud.

Rabbighfirli warhamni wajburni warfa'ni warzuqni wahdini wa'afini wa'fu 'anni.


Yang di mana maksudnya ialah :

Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Itulah 8 perkara yang kita minta kepada Allah s.w.t secara khusus setiap kali kita membaca bacaan duduk di antara dua sujud. Solat itu adalah doa dan lihatlah betapa pentingnya meminta kepada Allah s.w.t dan begitu banyak sekali doa-doa ketika solat.

Setiap kali kita menunaikan solat, Allah telah menyediakan hadiah buat kita. Sudah pasti tidak mampu untuk kita lihat ketika ini tetapi Allah telah menyimpan hadiah-hadiah tersebut untuk diberikan kepada hamba-hambaNya yang soleh ketika di syurga kelak.

Antara gambaran yang diceritakan ketika di syurga kelak, penghuni-penghuni syurga akan tertanya-tanya bilakah masuknya waktu solat dan bagaimana hendak melakukan solat di syurga. Tetapi Allah menjawab bahawa tiada solat ketika di syurga kerana syurga adalah tempat balasan baik dan tempat untuk beristirehat. Pada setiap waktu solat ketika di syurga, malaikat akan mengetuk pintu-pintu penghuni syurga dengan membawa hadiah untuk mereka. Begitu banyak sekali hadiah-hadiah yang diberikan sehingga penghuni-penghuni syurga tidak mampu menghabiskannya.

Indah dan sungguh gah sekali gambaran yang diberikan di syurga kelak. Justeru, apa yang kita tunggu lagi? Jom menunaikan solat lima waktu beserta tambahan-tambahannya insyaAllah ~

No comments:

Post a Comment