بسم الله الرحمن الرحيم
Hari ini tergerak hati saya untuk berkongsi pendapat dan pandangan mengenai penulis-penulis blog yang menulis sambil mencari rezeki di sebalik penulisan digital mereka. Girang rasanya dan terbuka kalbu kerana saya juga salah seorang dari penulis digital yang mencubit sedikit rezeki melalui tinta digital ini. Apa yang ingin saya tumpukan di sini ialah apabila timbulnya satu atau lebih persoalan mengenai pendapatan melalui blog. Tidak ramai yang mengambil kisah tetapi pernahkah kita terfikir atau paling tidak terlintas di rongga pemikiran samada halal, haram atau syubhahkah jalan rezeki itu?
Mungkin masih ada yang masih samar dengan punca rezeki ini jadi biar saya rungkaikan sedikit sebanyak punca-punca rezeki yang boleh didapati melalui blog. Antaranya ialah :
1. Iklan melalui ejen seperti Google Adsense, Nuffnang dan Advertlets
2. Penjualan produk-produk (e-perniagaan)
3. Sumbangan dari pembaca dan pelayar internet
Tiga jalan di atas adalah antara yang paling kerap dan biasa untuk mencuit sedikit sebanyak rezeki di samping berdakwah, menulis dan meluahkan perjalanan hidup di hamparan digital yang dilayari oleh hampir setiap lapisan masyarakat.
Pertama sekali jalan yang ingin saya kupas, iklan melalui ejen pengiklan seperti Google Adsense, Nuffnang, Advertlets dan sebagainya. Melalui iklan, blog mampu menjana pendapatan yang lumayan tetapi berhati-hatilah kerana ia mampu mengubah hukum pendapatan itu dari halal yang sepatutnya menjadi syubhah dan mungkin sekali sehingga haram. Pernahkah anda terlihat atau terbaca di mana-mana blog, ayat-ayat yang berbunyi
"Sila bantu saya menjana wang, sila klik pada iklan"
"Klik pada iklan bagi menjana wang untuk blog ini"
"Bantu saya dengan satu klik pada iklan"
Setiap ayat di atas mengajak kita untuk membantu penulis blog bagi menjana pendapatan untuknya melalui iklan. Tetapi tahukah anda bahawa terdapat perjanjian di antara ejen pengiklan dan penulis blog di mana penulis blog tidak boleh menyuruh, menyebabkan pelawat blog mengklik pada iklan dengan sengaja seperti contoh-contoh di atas. Ia kerana ajakan atau suruhan tersebut menganggu atau lebih spesifik lagi tidak jujur dalam melawat iklan berkenaan. Berbeza dengan naluri atau niat pelawat blog yang tertarik pada iklan tersebut lalu menghadiahkan klik pada iklan dengan tujuan untuk melihat isi iklan berkenaan dan bukan kerana untuk menderma dengan menggunakan duit pengiklan. Justeru itu, ajakan, suruhan yang berbentuk kepada menyebabkan pengunjung mengklik kerana kasihan atau ingin membantu adalah salah sama sekali begitu juga dengan penulis jika mengklik iklan di blog sendiri dengan niat menambah bilangan klik pada iklan tersebut.
Melalui penjualan produk-produk pula, tertakluk pada sumber jualan, produk yang dijual, dan juga untung yang diambil perlulah memenuhi segala hukum syarak. Namun begitu kebanyakkan manusia akhir zaman bersikap lebih sembrono dengan mengambil mudah tidak kira produk yang mereka jual itu cetak rompak, tiruan dan sebagainya tanpa mengira halal dan haramnya.
Seterusnya, disebabkan terdapat sahabat yang musykil mengenai sumbangan ikhlas kepada blog seperti derma dan sebagainya, saya tambah dan selit sebagai informasi tambahan buat sahabat sekelian. Sebagai contoh, saya petik blog Ustaz Hasrizal yang dikenali dengan nama SaifulIslam.com .
Terdapat ruangan yang meminta sumbang sama atau sumbangan ikhlas kepada SaifulIslam.com dan ini tidak sekali-kali menyalahi hukum syarak kerana sumbangan ikhlas itu datangnya dari wang anda sendiri tetapi pastikan ianya dari sumber yang bersih. Diharap sahabat dapat membezakan sumbangan melalui klik pada iklan yang salah dan juga sumbangan ikhlas dari akaun bank kita terus kepada akaun penulis blog tersebut.
Blog juga berpotensi untuk menjadi haram apabila sumber penulisan itu dipetik dari blog lain tanpa kebenaran dan kredit kepada penulis asal. Apatah lagi apabila penulisan itu berunsurkan fitnah yang mampu merobek kesucian individu lain. Sekaligus, saya ingin menyeru kepada sekelian umum dan sahabat blog marilah kita memastikan kesucian serta kehalalan blog kita dari fitnah, sumber-sumber yang syubhah dan haram. Sama-samalah kita jujur, ikhlas dan menyalurkan unsur dakwah dalam blog kita. Semoga Allah s.w.t bersama-sama kita dalam memperjuangkan cara hidup Rasulullah, iaitu cara hidup dengan Islam sebagai kehidupan.
Wallahu'alam...
No comments:
Post a Comment