Showing posts with label kemalangan. Show all posts
Showing posts with label kemalangan. Show all posts

Wednesday, February 23, 2011

Kemalangan Di KM5.8 DUKE

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum WBT. Hari ini aku nak kongsikan video kemalangan di KM5.8, lebuhraya DUKE. Dikhabarkan, selekoh ini memang sering berlaku kemalangan. Semoga kita mengambil iktibar dari kemalangan ini dengan lebih berhati-hati. Pastikan kita berganjak ke tempat yang lebih selamat selepas kemalangan. Wallahu'alam.





Tuesday, December 21, 2010

Lagi Bas Kemalangan. Berkecai. 27 Maut.

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum WBT. Baru sahaja tidak beberapa lama kita mendengar berita kemalangan bas, hari ini terpampang di muka depan semua akhbar tempatan "Bas Berkecai, 27 Maut". Berikutan dengan kemalangan di Simpang Pulai - Cameron Highlands tersebut, ramai yang kini takut untuk menaiki bas ekspress. Berikut ialah petikan dari Berita Harian.

Nahas terburuk
Oleh Shamsul Kamal Amaruddin, Mohd Feroz Abu Bakar, Nurhayati Abllah, Ravale Savarinathan dan Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2010/12/21

  • Foto

  • Foto

    ANGGOTA penyelamat membantu mengeluarkan mangsa kemalangan maut di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, semalam.

27 termasuk 25 pelancong Thailand balik dari Cameron Highlands terbunuh

SIMPANG PULAI: Dahsyat dan mengerikan. Itulah gambaran keadaan nahas jalan raya terburuk dalam sejarah negara membabitkan sebuah bas persiaran dua tingkat yang mengorbankan 27 orang - 25 pelancong Thailand dan dua rakyat tempatan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai berhampiran Kampung Juang di sini, semalam.
Dalam nahas kira-kira jam 11.40 pagi, bas yang membawa 37 penumpang dari Cameron Highlands itu dikatakan terbabas dan melanggar pembahagi jalan ketika menuruni bukit serta melalui selekoh tajam sebelum terbalik dan terhumban ke dalam longkang sedalam dua meter di laluan bertentangan.
Nahas itu menyebabkan kedua-dua tayar depan bas terbabit tercabut dan tercampak ke longkang di laluan bertentangan, manakala bumbungnya ranap sama sekali dengan lebih 10 mayat bergelimpangan di jalan raya dan longkang manakala selebihnya termasuk yang cedera tersepit dalam kenderaan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, berkata 22 penumpang mati di tempat kejadian, lima lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), manakala 10 cedera termasuk dua kritikal.

Dua rakyat tempatan yang terkorban ialah pemandu bas berkenaan yang bekerja sebagai pemandu bas syarikat SK Murni Travel & Tours, Omar Shahidan, 48, dari Kangar, Perlis, serta pemandu pelancong, Soontorn a/l Kian, 38. Pelancong Thailand yang maut pula membabitkan lapan lelaki dan 17 wanita.

Zakaria berkata, semua pelancong terbabit dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mengambil penerbangan pulang ke Bangkok.
Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika bas yang dipandu laju itu menuruni bukit di satu selekoh tajam sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

"Pemandu bas dipercayai hilang kawalan menyebabkan bas itu terbalik dan terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira dua meter. Ada di antara penumpang tercampak dan tersepit di bahagian tempat duduk menyebabkan kebanyakan mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pasukan penyelamat terdiri daripada 100 anggota dan pegawai polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kira-kira jam 12 tengah hari dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian," katanya.

Tinjauan Berita Harian di tempat kejadian mendapati dua tayar serta lampu isyarat kanan bas itu tercampak di laluan bertentangan dipercayai tertanggal ketika melanggar pembahagi jalan.

Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lebih lima jam apabila polis terpaksa menutup kedua-dua laluan bagi menyekat aliran trafik untuk melancarkan operasi menyelamat serta mengeluarkan mangsa.


Na'uzubillah.

Monday, November 01, 2010

Bas Sekarang Memang Laju. Siapa Setuju?

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum WBT. Penulisan kali ini berkait rapat dengan kemalangan bas yang semakin menjadi-jadi baru-baru ini. Terdahulu, pada 10.10.10 bukan sahaja satu tarikh yang menarik malah telah mencipta tragedi yang menyayat hati apabila sebuah bas ekspres Delima ditimpa kemalangan yang mengerikan sehingga meragut 12 nyawa. Terdapat beberapa testimoni dari Facebook mengatakan bas tersebut tidak dipandu laju di mana hanya lebih kurang 110km/j sahaja. Apakah 110km/j itu tidak laju bagi sebuah bas yang beratnya beberapa tan? Halaju bagi kenderaan berat hanyalah setakat 90km/j sahaja di lebuhraya.


Kelihatan bas pelancongan yang terbabit dalam kemalangan setelah terbabas lalu terbalik di KM38 Genting Sempah. — Foto Bernama

Tidak sampai sebulan, baru-baru ini berlaku lagi tragedi kemalangan bas yang telah mengorbankan 7 nyawa pula, kebanyakannya terdiri dari remaja yang masih bersekolah. Begitu mudah nyawa mereka yang tidak bersalah ini melayang. Memang betul, semuanya sudah takdir. Semua itu sekadar penyebab semata-mata. Tetapi bukanlah takdir mentah-mentah sebegitu. Bukankah kita manusia diberikan aqal untuk berfikir? Allah SWT sudah menetapkan sunnatullah iaitu hukum-hukum dunia.

Firman Allah yang bermaksud : "Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang telah diperbuatnya". (QS. Al-Muddaththir : 38)

Setiap perkara yang kita perbuat adalah hasil dari usaha kita sendiri. Jika kita sendiri yang melompat terjun dari bangunan yang tinggi dengan sengaja lalu mati, maka adakah itu takdir dan ajal? Sama juga seperti pemandu bas yang memandu dengan laju tanpa menghiraukan keselamatan penumpangnya.

Soal pemandu memandu dengan laju ini bukan aku sengaja suka-suka untuk mereka cerita tetapi hasil dari pemerhatian dan memang begitu kerap sekali bas dipandu dengan laju terutamanya di lebuhraya. Pernah lebih kurang minggu lalu, ketika aku memandu pulang dari Melaka ke Kuala Lumpur. Sebuah bas S&S International menyalakan lampu tinggi menyuruh aku berpindah ke lorong kiri dari lorong tengah sedangkan meter kereta aku pada waktu itu mencatatkan kelajuan 110km/j. Aku yang memang kurang senang dengan perbuatan pemandu bas tersebut membiarkan dia memotong dan aku catatkan nombor platnya iaitu JKJ787. Pada waktu itu di kawasan Rembau, sekitar jam 7.30 malam. Bukan sekadar waktu itu sahaja, malah hampir setiap kali aku memandu di lebuhraya, bas yang berlalu sangatlah laju. Aku yakin, kawan-kawan pembaca pasti bersetuju.

Kepada semua pemandu bas, beringat-ingatlah ketika memandu. Ingatlah kamu memegang nyawa-nyawa yang tidak bersalah. Impak bas yang sangat laju tidak dapat kita bayangkan. Bersabarlah, kerana itu mampu menyelamatkan nyawa.

Wallahu'alam.