Monday, November 01, 2010

Bas Sekarang Memang Laju. Siapa Setuju?

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum WBT. Penulisan kali ini berkait rapat dengan kemalangan bas yang semakin menjadi-jadi baru-baru ini. Terdahulu, pada 10.10.10 bukan sahaja satu tarikh yang menarik malah telah mencipta tragedi yang menyayat hati apabila sebuah bas ekspres Delima ditimpa kemalangan yang mengerikan sehingga meragut 12 nyawa. Terdapat beberapa testimoni dari Facebook mengatakan bas tersebut tidak dipandu laju di mana hanya lebih kurang 110km/j sahaja. Apakah 110km/j itu tidak laju bagi sebuah bas yang beratnya beberapa tan? Halaju bagi kenderaan berat hanyalah setakat 90km/j sahaja di lebuhraya.


Kelihatan bas pelancongan yang terbabit dalam kemalangan setelah terbabas lalu terbalik di KM38 Genting Sempah. — Foto Bernama

Tidak sampai sebulan, baru-baru ini berlaku lagi tragedi kemalangan bas yang telah mengorbankan 7 nyawa pula, kebanyakannya terdiri dari remaja yang masih bersekolah. Begitu mudah nyawa mereka yang tidak bersalah ini melayang. Memang betul, semuanya sudah takdir. Semua itu sekadar penyebab semata-mata. Tetapi bukanlah takdir mentah-mentah sebegitu. Bukankah kita manusia diberikan aqal untuk berfikir? Allah SWT sudah menetapkan sunnatullah iaitu hukum-hukum dunia.

Firman Allah yang bermaksud : "Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang telah diperbuatnya". (QS. Al-Muddaththir : 38)

Setiap perkara yang kita perbuat adalah hasil dari usaha kita sendiri. Jika kita sendiri yang melompat terjun dari bangunan yang tinggi dengan sengaja lalu mati, maka adakah itu takdir dan ajal? Sama juga seperti pemandu bas yang memandu dengan laju tanpa menghiraukan keselamatan penumpangnya.

Soal pemandu memandu dengan laju ini bukan aku sengaja suka-suka untuk mereka cerita tetapi hasil dari pemerhatian dan memang begitu kerap sekali bas dipandu dengan laju terutamanya di lebuhraya. Pernah lebih kurang minggu lalu, ketika aku memandu pulang dari Melaka ke Kuala Lumpur. Sebuah bas S&S International menyalakan lampu tinggi menyuruh aku berpindah ke lorong kiri dari lorong tengah sedangkan meter kereta aku pada waktu itu mencatatkan kelajuan 110km/j. Aku yang memang kurang senang dengan perbuatan pemandu bas tersebut membiarkan dia memotong dan aku catatkan nombor platnya iaitu JKJ787. Pada waktu itu di kawasan Rembau, sekitar jam 7.30 malam. Bukan sekadar waktu itu sahaja, malah hampir setiap kali aku memandu di lebuhraya, bas yang berlalu sangatlah laju. Aku yakin, kawan-kawan pembaca pasti bersetuju.

Kepada semua pemandu bas, beringat-ingatlah ketika memandu. Ingatlah kamu memegang nyawa-nyawa yang tidak bersalah. Impak bas yang sangat laju tidak dapat kita bayangkan. Bersabarlah, kerana itu mampu menyelamatkan nyawa.

Wallahu'alam.


No comments:

Post a Comment